Bola sepak wanita dapat sentuhan jurulatih Amerika

Diterbitkan: Khamis, 11 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara bakal menerima sentuhan jurulatih dari Amerika Syarikat menerusi klinik bola sepak yang akan diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, pada 20 Jun ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Wanita Malaysia (PBWM) Tunku Ellie Badariah Tunku Ahmad berkata klinik tersebut antara pengisian program 'Amerika Syarikat-Malaysia: Wanita dalam Program Pertukaran Bola sepak.'

"Program pertukaran bola sepak dengan Amerika Syarikat kali kedua ini melibatkan klinik bola sepak untuk kira-kira 120 atlet muda berumur antara 12 hingga 18 tahun daripada sekolah sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata klinik tersebut akan diadakan di padang MSN bermula pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang.

Tunku Ellie berkata klinik itu akan dikendalikan oleh enam jurulatih wanita termasuk dari Amerika Syarikat, negara yang menduduki ranking pertama dunia dalam bola sepak wanita Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak Mac lepas, manakala Malaysia menduduki ranking ke-78. Beliau berkata klinik itu juga akan diadakan di Kuantan pada 22 Jun dan di Sabah pada 24 Jun ini dan ia terbuka kepada atlet wanita di bawah umur 19 tahun yang berminat untuk belajar tentang bola sepak dengan setiap klinik dijangka melatih lebih 120 pemain.

Dalam perkembangan lain, PBWM juga akan mengadakan Klinik Jurulatih pada 19 Jun ini di MSN.

Klinik itu akan melibatkan 10 bakal jurulatih yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan