Gara-gara Piala FA, 4 ditahan termasuk 3 warga Afrika

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan malam tadi akibat bergaduh selepas tamat perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun lelaki berumur 20-an itu ditahan bukan kerana dia bergaduh disebabkan pasukanya kalah, tetapi disebabkan dia sukar untuk mengambil motosikalnya untuk pulang, setelah perlawanan tamat, kirakira 12.45 pagi.

Dia dikatakan telah menjatuhkan beberapa motosikal lain sehingga menimbulkan kemarahan pemiliknya.

"Pergaduhan bukan disebabkan perlawanan bola. Lelaki ini dikatakan telah menjatuhkan beberapa buah motosikal lain ketika dia cuba mengeluarkan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan parkir stadium.

"Kemudian timbul salah faham, lalu berlaku pergaduhan kecil antara beberapa penyokong di situ. Bagaimanapun yang lain sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis, tetapi kita telah menahan lelaki berkenaan untuk siasatan di bawah Akta Kesalahan Kecil kerana bergaduh," kata Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim yang mengetuai pasukan keselamatan di stadium, kepada Bernama.

Sementara itu, sebuah kereta yang diletakkan di perkarangan stadium juga dikatakan telah dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ketika perlawanan berlangsung.

Saksi yang dikenali sebagai Nuha, 28, berkata dia menyedari cermin kereta rakannya itu dipecahkan dan kereta itu diselongkar apabila melihat lampu kereta terbabit menyala.

"Saya dan lima rakan lain ketika itu sedang sibuk berniaga minuman di luar stadium. Sejurus selepas tamat perlawanan saya dapati lampu kereta kawan saya menyala.

"Saya kemudian terus ke kereta itu dan terkejut apabila melihat cermin belakang kereta telah dipecahkan dan beberapa bahagian kereta kemek seperti diketuk," katanya.

Nuha berkata, wang tunai RM4,000 yang disorokkan di tempat duduk belakang kereta itu turut hilang.

Ahmad Amir berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kes kereta terbabit.

Dalam satu kejadian lain, tiga lelaki Afrika berumur antara 20 dengan 30 tahun ditahan kerana dipercayai mencetuskan pergaduhan dengan sekumpulan lelaki tempatan di Desa Aman Putri Kepong, juga dipercayai garagara Piala FA.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham mengenai perlawanan akhir itu.

Tiga buah kereta turut rosak dalam pergaduhan itu, katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Selangor menewaskan Kelantan 4-1 menerusi tendangan penalti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan