suria

Anjur parti ketika perintah berkurung, Walker bakal berdepan tindakan disiplin Manchester City

Walker bakal berdepan tindakan disiplin daripada kelabnya selepas dilaporkan melanggar arahan perintah berkurung (lockdown) di UK. Foto: Getty Images

BINTANG Manchester City, Kyle Walker bakal berdepan tindakan disiplin daripada kelabnya selepas dilaporkan melanggar arahan perintah berkurung (lockdown) dengan menganjurkan parti yang melibatkan dua pekerja seks.

Dalam satu kenyataan, City berkata tindakan Walker itu secara langsung melanggar tanggungjawabnya sebagai seorang yang patut menunjukkan contoh yang baik.

Kenyataan itu juga menambah bahawa kelab akan mengadakan siasatan terhadap pertahanan England itu.

United Kingdom (UK) telah mengeluarkan arahan pelaksanaan sekatan sosial untuk memerangi Covid-19.

Sehingga Ahad, seramai 47,806 individu telah disahkan positif Covid-19 di UK, dengan 4,934 kes kematian dicatatkan.

City berkata: "Manchester City FC menyedari berita dalam akhbar tabloid mengenai kehidupan peribadi Kyle Walker berhubung dengan pelanggaran peraturan perintah berkurung UK dan peraturan sosial.

"Pemain sepak bola adalah model di seluruh dunia, dan staf serta pemain kami telah bertungkus lumus mendukung usaha Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan pekerja penting lain dalam memerangi Covid-19 dengan cara apa sekali pun.

"Tindakan Kyle dalam perkara ini secara langsung melanggar usaha ini.

"Kami kecewa mendengar tuduhan tersebut, mengambilkira kenyataan pantas dan permintaan maaf Kyle, dan akan menjalankan prosedur tatatertib dalaman pada masa akan datang."

Walker, 29, telah memohon maaf dan menggesa orang ramai supaya "tinggal di rumah" semasa pandemik wabak tersebut. - BBC.Com

Artikel Lain