suria

Mata dedah diberi tugas baharu di bawah kendalian Solskjaer

Mata antara pemain senior yang masih kekal di Old Trafford.

JUAN Mata telah mendedahkan bahawa dia telah diberi tanggungjawab baharu di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dalam menyesuaikan kehadiran pemain baharu ke Old Trafford.

Pemain veteran itu menyertai Manchester United dari Chelsea dengan yuran perpindahan sebanyak £37.1 juta (RM199 juta) pada 2014 dan sehingga kini merupakan antara pemain yang paling lama berkhidmat di kelab yang terletak di bandar Manchester itu.

Dalam pada itu, Mata memberitahu meskipun dia bakal menyambut ulang tahun yang ke-32 pada 28 April ini, dia masih mempunyai tenaga yang sama seperti di usia muda.

"Saya masih rasa diri saya muda, dari segi mental mahupun fizikal. Saya telah bermain bola sepak secara profesional selama 12-13 tahun.

"Tempoh tersebut sudah cukup banyak memberi pengalaman kepada saya, terutamanya untuk memberi nasihat kepada pemain muda bagaimana untuk menangani situasi sukar.

"Saya akan cuba berikan yang terbaik sama ada di dalam padang mahupun luar padang buat pemain baharu seperti Bruno (Fernandes) dan Odion (Ighalo), manakala pemain akademi pula seperti Brandon (Williams), Chongy (Tahith Chong), Angel (Gomes) dan Jimmy (Garner)," ujar Mata kepada UTD.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu telah beraksi buat Manchester United selama tujuh musim termasuk musim ini.

Mata telah bermain secara konsisten dalam membuat bantuan gol kepada pemain di posisi penyerang dan dia juga pernah menjaringkan 10 gol untuk tiga musim berturut-turut.

Mata pernah bermain di bawah empat jurulatih termasuk seorang pengendali sementara iaitu Ryan Giggs. - Mirror

Artikel Lain