suria

“Saya tahu kualitinya, dia pemain hebat” - Lampard yakin Ziyech mampu bantu Chelsea

Lampard menyifatkan Ziyech sebagai pemain yang hebat. Foto: Sky Sports

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard percaya bahawa bintang Maghribi, Hakim Ziyech akan mencipta kreativiti yang sangat diperlukan untuk membantu pasukan kendaliannya.

Chelsea pada Khamis mencapai kata sepakat dengan Ajax untuk mengikat Ziyech dengan harga 40 juta Euro (RM179 juta) pada musim panas ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menjadi pemain pertama yang ditandatangani Lampard sejak menjadi pengurus The Blues musim panas lalu.

Ditanya mengenai penyertaan Ziyech dalam wawancara bersama Sky Sports, Lampard berkata: "Saya rasa dia adalah pemain yang hebat dan mencuri perhatian saya ketika mereka bermain di Liga Juara-Juara musim lalu.

"Saya tahu kualitinya, dia mempunyai kaki kiri yang bagus.

"Dia seorang pemain yang kami harap dapat membawa kreativiti dan sesuatu yang berbeza, dan mampu menjaringkan gol," kata Lampard.

Ziyech mengkagumkan Chelsea apabila dia bermain menentang kelab tersebut di Liga Juara-Juara awal musim ini di Stamford Bridge.

Pemain antarabangsa Maghribi itu menjadi tokoh utama di Ajax sejak dua musim lalu dengan 29 gol dan 45 assist dalam 78 perlawanan. - Metro.co.uk

Hakim Ziyech, Frank Lampard, Chelsea

Artikel Lain