suria

Tindakan agresif ke arah pengadil, pengurus sepak takraw wanita digantung

Wan Mohd Husni digantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sepak takraw oleh Astaf.

PENGURUS pasukan sepak takraw wanita negara, Wan Mohd Husni Abdullah telah digantung tugas oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Aastaf) bagi kesalahan disiplin pada temasya Sukan SEA Ke-30.

Menurut Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader, Wan Mohd Husni didakwa melaungkan perkataan tidak sopan dari kawasan tempat duduk penonton semasa aksi final regu lelaki antara Malaysia dan Thailand pada 8 Disember di Subic Gym.

Dia didakwa meluru secara agresif ke arah pengadil di gelanggang, Roy Fabay dan menjerit kenapa keputusannya tidak memihak kepada Malaysia.

“Wan Mohd Husni diberi tempoh 14 hari untuk memberikan keterangan ringkas mempertahankan dirinya kepada Jawatankuasa Disiplin Astaf. Jika (tuduhan) dibuktikan, dia mungkin berdepan hukuman diberi amaran, denda, digantung, larangan seumur hidup atau gabungan daripada mana-mana hukuman itu.

"Dia digantung serta merta oleh pengurus pertandingan Sukan SEA, Prof Jolly Laboy pada 9 Dis daripada turut serta dalam baki pertandingan.

“Sehingga Jawatankuasa Disiplin Astaf membuat keputusan selanjutnya, dia tidak boleh menyertai mana-mana aktiviti sepak takraw, termasuk sebagai jurulatih, pengurus pasukan dan pemain,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi.

Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA dengan dua pingat perak daripada regu lelaki dan regu berpasukan dan pingat gangsa daripada regu wanita.- Bernama

Artikel Lain