suria

Keputusan isu perpindahan Akhyar ke JDT diketahui hujung bulan ini

Keputusan kes perpindahan Akhyar ke JDT diketahui hujung bulan ini.

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) masih meneruskan usaha ‘mencari kebenaran’ berhubung kes perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun lepas.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, berkata keputusan kes tersebut yang telah dirujuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) itu akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Setelah gagal membawa kes ini ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia telah dirujuk ke AIAC. Bagi kes tuntutan KFA terhadap Persatuan Bola Sepak Johor pula, ia seolah-olah tidak bergerak kerana sehingga kini masih belum memasuki fasa rayuan.

"Jadi, KFA mengharapkan pihak FAM dapat bertindak dengan telus dalam menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Kongres KFA kali ke-44 di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata duit sumbangan yang telah dikutip untuk Tabung CAS (Mahkamah Timbang Tara) KFA yang berjumlah RM50,000 telah habis digunakan untuk menampung kos guaman bagi kes tersebut dan KFA juga terpaksa menampung segala kos tambahan.

Pada hujung tahun lalu, KFA telah mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.- Bernama

Akhyar, KFA, JDT

Artikel Lain