suria

Presiden Cerezo Osaka kagum kemudahan di AMD “10 tahun lagi bola sepak Malaysia akan lebih maju”

Delegasi Cerezo Osaka yang diketuai Morishima (lima dr kiri) Hamada, (tiga dr kiri) bersama serta Yusof (tiga dr kanan) di AMD pada Khamis.

BEKAS pemain bola sepak Jepun, Hiroaki Morishima yakin bola sepak Malaysia akan lebih maju lagi dalam tempoh sepuluh tahun berdasarkan program yang ada di Akademi Bola Sepak Malaysia (AMD).

Morishima yang juga merupakan Presiden Kelab Bola Sepak Cerezo Osaka membuat lawatan rasminya ke AMD pada Khamis bersama Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.

Jelas Morishima dia sangat kagum dengan kemudahan yang terdapat di AMD.

“Fasiliti di sini sangat baik. Lebih baik dari apa yang ada di Jepun. AMD bukan saja memiliki kualiti padang sangat elok malah turut mempunyai kemudahan 'recovery pool' yang cuma terdapat di kelab-kelab besar.

“Sangat mengagumkan. Saya yakin dalam tempoh 10 tahun lagi, bola sepak Malaysia akan lebih maju," katanya.

Selain itu, Hamada turut menyuarakan pendapat yang sama berkaitan kemudahan yang ada di AMD.

"Saya lihat kemudahan di sini sangat baik, walaupun saya di maklumkan ianya bukan lengkap sepenuhnya.

"Bagi pihak Yakult Malaysia, kami akan sentiasa membantu dan menyokong segala usaha dalam pembangunan bola sepak negara," ujarnya.

Kehadiran delegasi Cerezo Osaka ke AMD disambut baik oleh Pengurus Besar, Yusuf Ibrahim yang turut ditemani oleh beberapa orang jurulatih AMD.

“Pihak kami juga amat berterima kasih kepada pihak Cerezo Osaka dengan kerjasama yang terjalin dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan di masa akan datang.

Delegasi Cerezo Osaka ini hadir ke Malaysia bagi menandatangani perjanjian MOU dua hala yang menjadikan Yakult Malaysia sebagai rakan kerjasama Asean.

Pasukan bawah 14 tahun Cerezo Osaka juga akan turut menyertai Piala SuperMokh 2019 disember nanti.

Cerezo Osaka, AMD

Artikel Lain