suria

Safawi idam anugerah MVP 2019

Safawi idam gelaran MPV tahun ini.

PEMAIN sayap kebangsaan Muhammad Safawi Rasid mengintai peluang bagi memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Bangi, Jumaat ini.

Anak jati Dungun, Terengganu itu yang menjadi watak penting JDT meraih Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia, bagaimanapun menyifatkan saingan merebut anugerah MVP cukup sengit memandangkan penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain sayap Perak, J. Partiban yang tercalon dalam anugerah Penyerang Terbaik, turut mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan masing-masing, musim ini.

“Saya rasa saingan sangat kuat sebab ramai berada dalam prestasi baik sekarang dan saya tidak kisah siapa akan mendapat gelaran MVP janji saya dicalonkan, itu pun sudah cukup baik untuk karier bola sepak saya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhammad Safawi menyifatkan pencalonan diterimanya pada ABK 2019, jelas menjadi pencetus semangat kepada dirinya dan pemain lain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Sebagai rekod, pemain berusia 22 tahun itu meraih tiga anugerah pada ABK 2018, iaitu anugerah MVP, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan.

Berkongsi pandangan sama adalah Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang turut menyimpan hasrat memenangi anugerah Penyerang Terbaik buat kali keempat setelah meraih trofi sama pada 2010, 2011 dan 2012.

“Kalau boleh, memang saya ingin kembali memenangi anugerah ini yang pernah memberikan kenangan istimewa kepada saya sepanjang bergelar pemain dan menaikkan nama saya pada satu ketika dahulu.“Secara tidak langsung pengiktirafan itu boleh memberi kembali keyakinan kepada saya ketika beraksi,” jelasnya.

Berbeza pula dengan pandangan Partiban yang teruja kerana menjadi seorang daripada calon untuk merebut anugerah Penyerang Terbaik 2019.

“Sudah semestinya saya terkejut apabila tercalon buat kali pertama kerana bukan senang untuk mana-mana pemain tercalon.

“Apa-apa pun, pesaing saya, Muhammad Safawi dan Mat Yo sememangnya layak untuk berada di ‘Top 3’ dan saya berbangga dapat bersaing bersama pemain hebat seperti mereka,” jelasnya yang diberi jolokan ‘Kinta Express’ kerana mempunyai kelajuan tersendiri ketika melakukan serangan ke atas kubu pihak lawan.

Safawi Rashid, JDT, MPV

Artikel Lain