suria

Menang kalah skuad muda soal kedua, “Team work, teknikal dan cara hantar bola bukan kerja setahun dua”

Skuad Bawah 18 Tahun negara bergelar naib juara pada aksi Piala AFF dua hari lalu.

PENGULAS sukan, Azlan Mubin gembira dengan prestasi skuad muda negara yang menunjukkan prestasi positif di pentas Asean.

Menurut bekas pemain sepak takraw negara yang kita bergelar hos di Arena mengakui prestasi cemerlang pemain-pemain muda (Bawah 18 dan 15 Tahun) adalah bukti hasil jangka panjang program pembangunan.

"Secara logiknya acara sukan berpasukan seperti bola sepak, sepak takraw atau hoki memang paling susah untuk mendapat keserasian, kerjasama dan keputusan positif, bermakna prestasi pasukan muda yang ditunjukkan hari ini bukanlah dalam tempoh pendek, setahun dua.

"Apa yang penting bagi saya sebagai individu yang sentiasa mengikuti perkembangan sukan tanah air, keputusan menang atau kalah adalah soal kedua.

Azlan sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak negara.

"Kita nampak ada hasilnya dari segi  team work, teknikal dan cara untuk menghantar bola yang sememangnya bukan 'kerja' setahun dua," kongsinya ketika ditemui mStar.

Jelas Azlan yang sudah sembilan tahun sebagai pengulas sukan ini turut tidak senang dengan beberapa isu yang timbul berkaitan dengan skuad muda negara ini.

"Majoriti pemain-pemain muda ini sudah lama bersama. Bagi saya pujian kepada 'orang-orang' yang baru datang menguruskan mereka ini tidak sepatutnya berlaku.

"Ini masalah negara kita, apabila nampak benih yang membuahkan hasil, semua cakap kita punya. Sebenarnya ia tak perlu pun...," tambah Azlan.

Menurut Azlan, ada misi lebih besar yang perlu difikir oleh pengurusan bola sepak mengenai masa depan pemain-pemain muda negara ini.

"Ke mana mereka selepas lima tahun nanti? Sebabnya selepas ini apabila mereka mencapai umur 18 atau 20 tahun, pasti pemain-pemain ini akan berpecah dan kembali ke negeri masing-masing.

"Apabila keluar dari pasukan kebangsaan, level mereka dah berada dalam kelas sendiri. Takkan nak main dengan Piala Presiden? Atau ada juga mungkin dipanggil dengan kelab-kelab besar tetapi hanya duduk di bangku simpanan. Ia memang tidak berbaloi.

"Jadi selain sibuk claim perkara-perkara berkaitan, lebih baik tumpukan kepada perancangan jangka  panjang pemain-pemain muda ini," ulasnya.

Sebagai rekod, skuad Bawah 15 Tahun negara berjaya bergelar juara pada aksi Piala AFF minggu lalu, manakala pasukan 18 tahun dinobatkan naib juara kejohanan yang sama.

Artikel Lain