suria

Kelayakan Piala AFC B-23: Laman sendiri penentu prestasi skuad negara

Skuad Kim Swee menjalani latihan akhir menjelang pertemuan dengan Filipina dalam aksi Kelayakan Piala AFC B-23 hari ini.

KELEBIHAN beraksi di laman sendiri, skuad Bawah 23 tahun negara ditagih untuk mencipta kejutan sekali lagi layak ke Kejuaraan Piala AFC yang bakal berlangsung di Thailand tahun depan.

Dua tahun lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berjaya mencipta sejarah layak ke saingan kejuaraan apabila muncul sebagai juara kumpulan ketika aksi di Bangkok pada tahun 2017.

Malah mereka sekali lagi merakam rekod baharu dengan melangkah ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan ketika saingan Kejuaraan B-23 di China awal tahun lalu.

Namun itu semua sudah menjadi 'rekod rujukan' buat skuad negara. Tahun ini, aksi lebih baik pastinya ditagih oleh semua peminat bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi apabila bermain di tempat sendiri.

Misi kelayakan kali ini amat jelas, menurut Kim Swee. Beliau hanya mahukan dua kemenangan bagi memastikan skuad negara layak secara automatik ke Thailand tahun depan.

Berada dalam Kumpulan J bagi saingan kelayakan ini bersama Filipina, Laos dan China, Kim Swee tidak mengambil mudah terhadap semua lawannya itu.

Ong Kim Swee

"Ketiga-tiga pasukan pastinya sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan ini.

"Paling penting kemenangan awal dua perlawanan (Filipina dan Laos) mencerahkan peluang Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan di Thailand.

"Tetapi dalam masa sama tidak boleh mengambil mudah cabaran kesemua pasukan berkenaan terutamanya Filipina yang menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 dan mereka sudah semestinya meletakkan banyak usaha sebelum menghadapi kejohanan ini,” jelasnya menjelang perlawanan pertama bertemu Filipina di Stadium Shah Alam hari ini (Jumaat).

Dalam masa sama, Kim Swee berharap stadium akan dipenuhi dengan suara penyokong tempatan untuk memberikan semangat kepada skuad muda negara.

"Kami mengharapkan keputusan positif bersama dengan semua penyokong bola sepak negara. Mereka adalah semangat buat kami semua," jelasnya.

Juara setiap kumpulan bagi saingan kelayakan ini (11 pasukan) akan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2020 bersama tuan rumah, Thailand manakala hanya empat atau lima pasukan tempat kedua terbaik akan turut layak bagi melengkapkan senarai 16 pasukan.

Senarai 23 pemain Malaysia: 

Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin, Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Safawi Rasid (kapten), Mohamad Hariz Kamarudin , Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias, Damien Lim Chien Khai, R. Dinesh, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhamad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri  Mohd Nasir, Muhammad Danial Amier Norhisham , Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew . Evan Wensley Wenceslaus , Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak K. Thivandaran , Muhammad Amirul Ashraf Ariffin , Muhammad Izzan Syahmi Mustapa dan Muhammad Syahmi Safari .

Harimau Muda, B23, Ong Kim Swee, Piala AFC

Artikel Lain