suria

PFA perlu cepat cari jalan selesaikan konflik kewangan untuk elak disingkir daripada Liga M

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) digesa mencari jalan untuk segera mengatasi kemelut kewangannya yang menyebabkan pasukan Singa Utara itu disingkirkan daripada Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketika membuat gesaan itu, bekas pemain pertahanan Perlis era 1990-an, Manja Man (gambar) berkata PFA perlu bertanggungjawab dan berusaha memulihkan kewangannya sebagai persediaan untuk kembali bersaing dalam kancah bola sepak negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kapten tinggalkan Singa Utara, kini PFA terima apa saja keputusan MFL

Katanya beliau yakin penyokong akan memenuhi stadium sekiranya masalah tersebut diatasi.

“Walaupun Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menjanjikan penyelesaian namun beliau masih gagal menunaikan janji kepada pemain,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pengurusan PFA dilaporkan berhutang bayaran gaji dengan 18 pemain berjumlah RM460,000 dan bagi musim 2019, pemain tidak menerima gaji selama dua bulan sejak Disember lepas. 

Pada Rabu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyingkirkan Perlis daripada Liga-M selepas mendapati penyata kewangan pasukan itu menunjukkan sumbernya tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan dalam saingan musim ini.  

Pada musim ini, Perlis telah mengharungi tiga perlawanan dengan mencatat satu kemenangan.

Sementara itu, bekas Presiden PFA Datuk Seri Shahidan Kassim mahu kerajaan negeri mengambil tanggungjawab dan membantu supaya Perlis dapat kembali beraksi dalam Liga-M.

“Bila menang tunjuk muka tetapi bila kalah semuanya lari,” kata Shahidan tanpa mengulas panjang isu penyingkiran Perlis itu melalui WhatsApp kepada Bernama pada Khamis.

Seorang penyokong Perlis Mohamad Firdaus Husin, 26, turut melahirkan rasa kecewa dengan nasib PFA.

“Saya sanggup simpan duit hasil berniaga di pasar pagi atau pasar tani semata-mata nak tengok Perlis bermain tapi bila dapat tahu dah kena singkir, saya sangat kecewa dan marah,” katanya. - Bernama

PFA, MFL, Manja Man

Artikel Lain