suria

Chong Wei Perlu Kuatkan Mental Untuk Raih Pingat Emas Olimpik - Taufik

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei perlu kekuatan mental jika berhasrat meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.

Legenda badminton dunia, Taufik Hidayat dari Indonesia berkata Chong Wei masih cergas dan kompetitif setanding pemain nombor satu dunia masa kini, walaupun sudah mencecah usia 33 tahun.

Taufik percaya Chong Wei berpeluang cerah meraih pingat emas di Olimpik, walaupun memahami keadaan Chong Wei yang berdepan tekanan tinggi kerana beliau adalah harapan Malaysia bagi mendapatkan pingat emas pertama itu.

"Seperti saya dahulu, Indonesia mengharapkan saya meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2004 di Athen. Saya berpendapat Chong Wei perlu kuatkan mental.

"Tahun depan adalah peluang terakhirnya. Bagi saya Indonesia ataupun Malaysia, badminton adalah sukan nombor satu," katanya kepada pemberita selepas sesi bual bicara bersama legenda badminton, di sebuah hotel di sini Selasa.

Taufik adalah pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2004, juara dunia 2005 dan tiga kali pemenang pingat emas Sukan Asia pada 1998, 2002 dan 2006.

Dalam pada itu, Taufik berkata Indonesia juga berdepan masalah sama seperti Malaysia dalam mencari pemain perseorangan lelaki yang boleh mencapai standard dunia.

"Kami ada perancangan (dalam perseorangan lelaki) tetapi perlu melalui proses yang panjang. Tetapi kami masih ada pemain beregu dan beregu campuran yang bagus," katanya.

Badminton di Asia Tenggara perlu lebih meningkat, kita tidak mahu tiada wakil dari Asia Tenggara di Sukan Olimpik. Sekarang kita ada Datuk Lee Chong Wei yang masih boleh beraksi, kata Taufik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain