suria

Jurulatih Mula Beri Keterangan Kepada Jawatankuasa Penyiasat MOM

KUALA LUMPUR: Kesemua 16 jurulatih olahraga, yang terlibat dalam petisyen mendesak Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOM) Karim Ibrahim meletak jawatan, dipanggil memberi keterangan pada sesi pendengaran Jawatankuasa Penyiasat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang bermula Isnin.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk V.C George yang dibantu dua peguam iaitu Vinayak P.Pradhan dan William Davidson bagi menyiasat 'Laporan dan Aduan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM' bertarikh 13 Februari.

Jurulatih acara 400 meter negara Hamberi Mahat berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan sesi pendengaran itu, yang berlangsung empat jam, kerana dapat melihat kejujuran panel dalam mengambil keterangan.

"Dalam proses pendengaran tadi, kami semua memperincikan kandungan dalam petisyen tersebut, termasuk isu doping melalui bukti-bukti yang ada," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran jawatankuasa itu.

Hamberi, yang akan berlepas ke Jerman esok bagi mengikuti pengajian dalam diploma kejurulatihan lanjutan, berkata beliau yakin berdasarkan fakta yang diberikan, keputusan panel itu akan memihak kepada pempetisyen.

Sementara itu, Karim yang turut hadir bagi memberi keterangan, enggan mengulas.

Sekumpulan jurulatih dan 42 atlet olahraga kebangsaan menandatangani satu petisyen yang menolak kepimpinan Karim dan diserahkan kepada Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim, Februari lepas.

Rentetan itu, Shahidan menggunakan kuasa sebagai Presiden KOM untuk mengarahkan satu jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan bagi mencari kebenaran berhubung dakwaan yang dilempar terhadap timbalannya.

Sesi pendengaran jawatankuasa itu berlangsung secara berperingkat selama tiga hari, dan esok, giliran atlet terlibat memberi keterangan. - BERNAMA

Artikel Lain