suria

Jurulatih Luar Bakal Bimbing Skuad Hoki Negara

KUANTAN: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mendapatkan khidmat jurulatih import bagi memperkuatkan skuad hoki negara selepas mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-21 baru-baru ini. Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah setakat ini tiga nama sudah dikenal pasti untuk mengendalikan skuad tersebut, namun enggan mendedahkan identiti jurulatih terbabit. "Memang ada beberapa jurulatih luar yang berminat untuk melatih skuad negara tetapi kita tidak mahu terburu-buru kerana kita masih mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkara.

"Saya juga tidak dapat mengumumkan jurulatih berasal dari negara mana dan perkara ini akan selesai dalam beberapa minggu lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja menaik taraf Stadium Hoki Kuantan di sini, Isnin.

Turut hadir Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Leandro Negre dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Pengambilan jurulatih import menyaksikan khidmat Tai Beng Hai sebagai jurulatih negara berakhir.

Ditanya aksi kurang memberangsangkan skuad negara dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah itu, baginda mengakui kecewa berikutan meletakkan sasaran dalam empat pasukan terbaik.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah bertitah di sebalik prestasi kurang bertenaga itu, ada beberapa pemain remaja telah menarik perhatian kelab luar untuk mendapatkan khidmat mereka. "Bagi saya ia permulaan yang baik buat pemain muda untuk mendapatkan lebih pengalaman apabila beraksi di luar negara, jadi mereka yang dipilih nanti diharap mempamerkan prestasi mantap," titahnya. Dalam pada itu, Tengku Abdullah bertitah Stadium Hoki Kuantan yang dinaik taraf itu diharap dapat menganjurkan kejohanan hoki di peringkat antarabangsa. "Berdasarkan tinjauan Presiden FIH hari ini, beliau berpuas hati dan tidak menolak kejohanan besar akan diadakan di sini," titah Tengku Abdullah.-BERNAMA

Artikel Lain