suria

Azizulhasni Terkejut Galas Cabaran Emas Di Shenzen

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang tidak pasti sama ada akan menyertai atau sebaliknya temasya Sukan Universiti Dunia(Universiade) yang akan berlangsung di Shenzen, China, dari 12 hingga 23 Ogos ini.

Mohd Azizulhasni, 23, berkata sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang tawaran mahupun jemputan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewakili negara ke temasya tersebut.

"Saya hanya dapat tahu dipilih mewakili negara melalui laporan media, namun jika terpilih saya bersedia untuk menggalas cabaran tersebut," katanya, Khamis.

Pelumba dari Terengganu itu berkata beliau terkejut apabila laporan media menyebut bahawa KPT menjadikan dirinya sebagai sandaran pingat emas pertama di Shenzen nanti.

"Sekiranya beraksi di Universiade saya akan pastikan bahawa ia tidak akan menjejaskan tumpuan persiapan saya ke temasya Olimpik London yang berlangsung pada tahun depan.

"Namun saya tetap cuba buat persembahan yang terbaik di Shenzen nanti," kata pelumba yang terkenal dengan gelaran 'the pocket rocketman' itu.

Atlet itu berkata beliau akan kembali ke Melbourne, Australia pagi Jumaat untuk memulakan latihan seperti biasa di bawah bimbingan jurulatih John Beasley.

Azizulhasni sebelum ini berehat selama lima bulan bagi menjalani rawatan pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN) ekoran kecederaan betis kirinya ketika beraksi pada Piala Dunia Klasik di Manchester, England, Februari lalu.-BERNAMA

Artikel Lain