suria

Pemain Liga Perdana Sarawak Dapat Bonus

KUCHING: Pemain Sarawak akan diberi bonus kerana berjaya membawa pasukan itu mengungguli naib juara Liga Perdana 2011.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi berkata pihak pengurusan bersetuju untuk membahagi sama rata ganjaran RM100,000 yang diperoleh ekoran muncul naib juara.

"Kita akan peruntukkan kira-kira 80 peratus dari RM100,000 itu dan 20 peratus lagi akan digunakan untuk perkara lain berhubung pengurusan bola sepak," katanya kepada pemberita, Rabu.

Bonus itu dijangka diberi bulan ini.

Mengenai kejohanan Piala Malaysia yang akan bermula awal September ini, Abdullah berkata Sarawak akan bermain semula di sebelah malam di Stadium Negeri yang mempunyai 20,000 tempat duduk.

"Kita akan mulakan persediaan bulan ini dengan mencari bakat baru tempatan melalui jelajah yang akan diadakan mulai 14 hingga 24 Julai," katanya.

Ia akan meliputi Betong pada 14 Julai, Sibu (15 dan 16 Julai), Kapit (17-18 Julai), Mukah (19 dan 20 Julai), Bintulu (21 dan 22 Julai) dan Miri (23 dan 24 Julai).

Abdullah berkata pencarian akan berterusan dalam bulan September dan Oktober di Kuching dan Samarahan.

"Polisi kita ialah untuk mengasuh bakat tempatan yang mempunyai potensi untuk cemerlang di peringkat kebangsaan," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain