suria

Kejohanan Skuasy Kebangsaan Sebagai Pemanas Badan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Skuasy Kebangsaan TC yang akan diadakan di Pusat Skuasy Negara dari 6 hingga 10 Julai ini akan bertindak sebagai kejohanan "pemanas badan" bagi pemain sebelum Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia dua minggu kemudiannya (18-23 Julai).

Menurut satu kenyataan hari ini, kejohanan itu yang diadakan tahun lalu selepas 13 tahun terhenti, juga dikenali sebagai Tertutup Malaysia, akan menghimpunkan bakat skuasy terbaik Malaysia dalam usaha mereka membuktikan penguasaan mereka dalam ranking kebangsaan.

Pemain skuasy wanita nombor satu negara dan dunia, Datuk Nicol David dan jaguh skuasy lelaki, Azlan Iskandar, masing-masing menjulang gelaran wanita dan lelaki pada kejohanan tahun lepas seperti dijangka, tetapi dengan kemunculan ramai bakat tempatan, kejohanan itu akan menjadi medan ujian untuk bintang yang sedang meningkat naik.

Tahun lepas Nicol mengalahkan Low Wee Wern yang menduduki ranking ke-26 dalam perlawanan akhir yang mudah tetapi sejak itu Wee Wern telah mencatatkan kejayaan cemerlang di bawah bimbingan jurulatih Aaron Soyza dengan menduduki ranking ke-13 pada Januari sebelum jatuh ke tempat ke-15.

Seorang lagi pemain wanita yang sedang meningkat naik, Delia Arnold, di ranking ke-23 dunia dan Siti Munirah Jusoh, menduduki ranking ke-47, telah mempamerkan prestasi baik tahun ini dan dijangka layak ke separuh akhir pada kejohanan ini.

Sharon Wee, veteran dalam sukan skuasy tempatan yang berusia 33 tahun dan seorang daripada pemain peringkat separuh akhir tahun lepas, juga akan beraksi pada kejohanan ini walaupun telah bersara sebagai pemain skuasy profesional tahun lepas, memberi peluang kepada pemain junior untuk belajar daripada pengalaman luasnya.

Dalam perlawanan akhir lelaki tahun lepas, Azlan dari Sarawak muncul juara selepas Ong Beng Hee menarik diri daripada perlawanan akhir akibat kecederaan.

Kedua-dua mereka masih menjadi pilihan utama kejohanan namun yang akan mencuri tumpuan pastinya barisan pemain muda yang dijangka akan memberikan saingan sengit.

Antara mereka ialah Nafiizwan Adnan, 25, yang menduduki ranking ke-10 sejak tahun lepas dan baru-baru ini menumpaskan Beng Hee untuk menjuarai Kejohanan Asia ke-16 di Pulau Pinang (26-30 April).

Seorang lagi bintang yang sedang mencipta nama, Kamran Khan, 21, telah mempamerkan prestasi konsisten sejak beberapa tahun lepas dan melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir Terbuka Hibiscus Gardens di Australia pada Mac dan Terbuka Goaina Powerade di Brazil pada Mei.

Kejohanan ini akan membabitkan enam divisyen – Perdana Lelaki dan Wanita, Divisyen 2 Lelaki dan Wanita, Divisyen 3 Lelaki dan Veteran Lelaki.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain