suria

FAP Akan Buat Laporan Kepada SPRM

GEORGE TOWN: Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pasukan bola sepak negeri itu yang menunjukkan prestasi buruk sehingga tersingkir daripada Liga Perdana.

Presidennya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata keputusan untuk membuat laporan kepada SPRM dibuat selepas mesyuarat Majlis FAP baru-baru ini.

"Kami mengambil keputusan tersebut kerana kami percaya terdapat unsur-unsur rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam pasukan bola sepak negeri yang menyebabkan mereka tercicir dari Liga Perdana musim depan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata beliau turut mendapat aduan dan tuduhan bahawa terdapat penyelewengan di dalam FAP dan pentadbiran pasukan negeri.

"Kami tidak boleh membiarkan rasuah mempengaruhi mutu permainan pasukan negeri dan saya berharap pihak SPRM dapat membantu kami," katanya.

Zahrain berkata laporan akan dibuat dalam minggu ini.

Katanya FAP telah cuba membuat rombakan terhadap Jawatankuasa FAP lama dengan melantik seorang setiausaha baru.

Pulau Pinang tersingkir setelah menduduki tangga terbawah liga setelah 20 kali kalah, sekali menang dan seri dan hanya mengumpul empat mata.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain