Bola Sepak: Malaysia Layak Ke Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2014

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia walaupun kalah 2-3 kepada Taiwan pada perlawanan kedua di Stadium Taipeh, Taiwan, malam Ahad.

Malaysia, yang mengalah Taiwan 2-1 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu, melangkah ke pusingan seterusnya dengan peraturan gol di tempat lawan selepas terikat agregat 4-4.

Kejayaan skuad Harimau Malaya itu membolehkan anak buah Datuk K. Rajagobal bertemu Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik itu pada 23 Julai ini.

Perlawanan timbal balik dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 28 Julai ini.

Singapura mendapatkan 'bye' pada pusingan pertama kelayakan zon Asia.

Pada perlawanan malam Ahad, Malaysia bermula dengan rentak agresif dan gerakan teratur membuahkan hasil seawal minit ketujuh menerusi Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Mohamad Aidil melakukan rembatan kencang dari sepakan percuma hampir dari kawasan tengah padang selepas kapten pasukan, Safiq Rahim dikasari pemain lawan.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Taiwan menggandakan asakan dan memperoleh jaringan penyamaan menerusi penyerangnya, Chang Han pada minit ke-30 yang mengalahkan penjaga gol negara, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Bagaikan tidak mahu tunduk dengan keputusan 1-1 itu, Malaysia terus melancarkan serangan ke kubu lawan dan berjaya mendapatkan gol kedua negara selang sembilan minit kemudian menerusi hasil sepakan percuma Safiq Rahim.

Kegembiraan Malaysia bagaimanapun tidak kekal lama apabila Taiwan dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh pemain tengah, Chen Po Liang pada minit ke-43 akibat kealpaan pertahanan dengan Mahali Jasuli mengasari Chen dalam kotak penalti.

Pada babak kedua, Taiwan mula menukar corak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus sekaligus memberi tekanan kepada benteng pertahanan negara.

Benteng pertahanan negara dan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee bagaikan terus diuji bertalu-talu dan Taiwan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kali kedua oleh pengadil apabila Mohamad Fadhli Mohd Shas mengasari Chen namun Mohd Sharbinee berjaya menyelamatan sepakan penalti oleh Chen pada minit ke-61.

Bagaimanapun kelegaan sementara tersebut bertukar tragedi apabila pengadil Vietnam itu sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kali ketiga kepada tuan rumah gara-gara Mohd Sharbinee Allawee didakwa mengasari Chen.

Xavier Tsan Yuan pantas memanfaatkan peluang tersebut untuk jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-74.

Bagaikan tersentak dari lamunan, skuad Harimau Malaya bangkit mencari penyamaan dengan membuat serangan namun corak permainan Taiwan yang banyak bertahan selepas gol ketiganya tidak membuahkan gol buat pasukan negara.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 untuk kejohanan di Jerman.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohamad Fadhli Mohd Shas (Mohamad Muslim Ahmad), Mahali Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Mohd Amirulhadi Zainal (S. Chanthuru), S. Kunanlan, Abdul Hadi Yahaya (Ahmad Fakri Saarani), Norshahrul Idlan Talaha.

TAIWAN: Lin Po Cheng (Wei Sheng Hsin), Chang Yung Hsien, Lin Cheng Yi (Chen Po Hao), Chen Yu Lin, Xavier Tsan Yuan, Tsai Hsien Tang, Lo Chih An (Wu Pai Ho), Chan Che Yuan (Wu Chun Ching), Chen Po Liang, Chang Han, Lo Chih En. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan