suria

Zandra Aziela Dahului Masters Wanita Dengan Kelebihan Tujuh Pin

PETALING JAYA: Pemain boling negara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi mendahului acara Masters wanita pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-34 selepas selesai saingan blok pertama di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, dekat sini, Jumaat.

Pemain berusia 25 tahun itu merekodkan catatan 202, 245, 197, 176, 198, 190, 247 dan 189 jatuhan pin bagi mengumpul sejumlah 1,644 jatuhan pin.

Mengekori rapat dengan perbezaan hanya tujuh pin ialah pemain Singapura, Shayna Ng manakala Chan Shuk Han dari Hong Kong menduduki tangga ketiga dengan 1,626 jatuhan pin.

"Saya memang tidak sangka saya mendahului. Saya hanya bermain untuk melangkah ke blok kedua esok. Keadaan lorong hari lain berbeza daripada masa bermain dalam kelayakan Masters (MQ).

"Kutipan mata pun tidak tinggi macam MQ dan saya kena betul-betul konsisten dalam permainan saya. Kalau keadaan macam ini lagi esok, saya sudah tahu apa yang perlu saya lakukan," kata Zandra Aziela.

Selain Zandra Aziela, enam lagi pemain wanita negara --Siti Shazwani Ahmad Suhaimi, Jacqueline Jenelee, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon, Hee Kar Yen dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman -- mara ke saingan blok kedua pada Sabtu.

Menunggu mereka pada saingan blok kedua ialah Zatil Iman Abdul Ghani, Wendy Chai dan Sin Li Jane, yang muncul pemain terbaik sesi MQ tempatan dan tiga pemain kelayakan dalam kumpulan antarabangsa.

Dalam acara Masters lelaki, juara bertahan Adrian Ang menduduki tangga kedua selepas ketinggalan 14 pin di belakang pendahulu Yannaphon Larpapharat dari Thailand yang mengumpul 1,735 jatuhan pin.

Adrian, 23, melakarkan catatan 215, 214, 221, 202, 235, 233, 211 dan 190 untuk sejumlah 1,721 jatuhan pin.

Selepas berakhir blok kedua pada Sabtu, tiga pemain terbaik masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita akan berentap pada final acara 'stepladder'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain