suria

Wilayah Persekutuan Sasar Tempat Kedua Di SUKMA KL

KUALA LUMPUR: Kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran tempat kedua secara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia ke-14 di Lembah Klang dari 2 hingga 12 Jun ini, selepas memperoleh tempat ketiga pada temasya lepas di Melaka, dua tahun lepas.

Pada edisi di Melaka pada 2010, kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya memperoleh 43 pingat emas, 42 perak dan 49 gangsa dan menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan Datuk Adnan Md Ikhsan berkata pada edisi ke-14 Sukma kali ini, kontinjen Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meletakkan sandaran itu di bahu 336 orang atlet serta 86 pengurus dan jurulatih ingin memperbaiki kedudukan tahun lalu.

"Daripada kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini, saya yakin sasaran tempat kedua mahupun juara keseluruhan dan sekurang-kurangnya 40 pingat emas ataupun lebih ini boleh dicapai.

"Namun oleh kerana pada temasya kali ini acara baru banyak dipertandingkan, kita tetap berhati-hati dan optimistik akan mendapatkan sasaran pingat itu seterusnya memperbaiki pencapaian tahun lalu," katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Beliau berkata sebagai usaha menguatkan semangat semua yang terlibat, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan telah adakan satu kem latihan berpusat selama seminggu pada minggu terakhir bulan ini sebagai persiapan terakhir menghadapi temasya tersebut.

Pada edisi 2010, Terengganu muncul juara buat kali ketiga berturut-turut dengan memungut sebanyak 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa dan diikuti Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Pada edisi kali ini di Lembah Klang, Adnan berkata kontinjen Wilayah Persekutuan meletakkan sandaran utama pungutan pingat melalui beberapa acara sukan antaranya renang, renang berirama, lawan pedang, silambam, bola jaring, futsal dan bola keranjang.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, terdahulu menerima bendera Wilayah Persekutuan daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada majlis penyerahan bendera di Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalannya, Datuk M. Saravanan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Mohd Hamidi Abu Bakar.

Raja Nong Chik dalam ucapannya pada majlis itu berkata atlet perlu menjadikan Sukan Malaysia sebagai medan terbaik untuk merealisasikan impian sebagai atlet negara yang berjaya. "Jadikanlah Sukan Malaysia sebagai medan terbaik untuk membuktikan kemampuan sebenar anda untuk muncul sebagai jaguh sukan yang dihormati oleh kawan dan lawan.

"Tanamkan azam dan tekadkan usaha bagi mencapai impian untuk bersaing di medan yang lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik," katanya.

Beliau berkata Majlis Sukan Wilayah Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta bagi tujuan persediaan kontinjen ke Sukan Malaysia kali ini meliputi keperluan seperti pakaian, peralatan, makanan tambahan, elaun latihan, pengangkutan, penginapan dan sebagainya.

"Perbelanjaan tersebut adalah memastikan persiapan kontinjen dapat dijalankan dalam keadaan yang sempurna dan selesa," katanya.

Beliau juga mahu para atlet menjadikan pencapaian terdahulu di temasya Sukan Malaysia sebelum ini sebagai panduan bagi mencipta kejayaan yang lebih baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain