suria

Pemain Wanita Negara Hampir Pasti Genggam Kejuaraan Terbuka Malaysia

PETALING JAYA: Salah seorang daripada empat pemain boling wanita negara hampir pasti dinobatkan sebagai juara Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia Canon yang ke-34 yang sedang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway dekat sini, Sabtu.

Ini berikutan empat pemain Malaysia berada dalam kedudukan enam teratas selepas menamatkan saingan blok kedua hari ini dan mereka akan meneruskan saingan di pusingan "step-ladder" petang ini.

Zandra Aziela Ibrahim Hakimi terus mempamerkan permainan konsisten untuk berada di tempat pertama dengan 1,836 jatuhan pin.

Ia diikuti Sin Li Jane di tempat kedua dengan 1,828, Zatil Iman Abdul Ghani (ke-3 - 1,756) dan Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon (ke-5 - 1,720).

Turut melangkah ke pusingan akhir ialah juara bertahan, Kelly Kullick dari Amerika Syarikat dan Lara Posadas dari Filipina.

Sementara dalam kategori lelaki, penyandang juara, Adrian Ang gagal melayakkan diri ke pusingan berikutnya.

Bagaimanapun, Malaysia masih boleh menyandarkan harapan kepada pemain kebangsaan Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairudin dan pemain pelapis kebangsaan, Chong Jun Foo yang berjaya melangkah masuk ke pusingan akhir Masters.

Pada blok kedua hari ini, Muhd Nur Aiman berjaya mendahului lain-lain peserta dengan melakukan 1,878 jatuhan pin, manakala Chong pula ditempat kelima dengan 1,744 jatuhan pin.

Selain mereka, turut melayakkan diri ke pusingan berikutnya ialah Shaker Al Hassan dari Emiriyah Arab Bersatu, Yannaphon Larpapharat (Thailand), Wang Zhi Yung (China) dan Khalid Al Dubyyan (Kuwait). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain