suria

Ancelotti Ingin Terus Kekal Di London

PENGURUS Chelsea yang dipecat, Carlo Ancelotti, membuat keputusan untuk terus bermastautin di London lalu memberi indikasi bahawa beliau mungkin akan menerima tawaran baru tidak lama lagi.

Khabar angin bertiup kencang menyatakan bahawa sebuah lagi kelab dari London, iaitu Queens Park Rangers, yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana kemungkinan menawarkan jawatan pengurus kepada Ancelotti.

Bagaimanapun di Itali, kelab Roma disebut-sebut turut berusaha untuk memikatnya. Namun Ancelotti menegaskan bahawa beliau lebih selesa untuk terus tinggal di London buat masa sekarang.

Apabila ditanya dalam satu temuramah oleh stesen TV Italy, Sky Sports 24 tentang kemungkinan beliau kembali ke Siri A, bekas pengurus AC Milan itu berkata: "Buat masa ini saya langsung tidak membuat sebarang hubungan dengan kelab dari Itali. Saya masih ada beberapa urusan pentadbiran berkaitan kontrak yang perlu diselesaikan dengan Chelsea."

"Perancangan saya buat masa ini adalah untuk terus tinggal di England. Saya telah menghabiskan dua musim yang sangat bermakna di sini dan saya merasakan seronok untuk terus kekal di sini. Malah saya tidak dalam keadaan tergesa-gesa untuk mencari jalan penyelesaian baru (berhubung kerjayanya)," ujar Ancelotti lagi.

Ancelotti juga menjelaskan, sejak tahun 1995 sehingga sekarang, beliau hanya berpeluang memperolehi rehat yang singkat dari bolasepak, kerana beliau sentiasa melatih pasukan.

"Mungkin saya mahu berehat sedikit dan berkunjung ke St Petersburg untuk menziarahi jurulatih Zenit, Luciano Spalletti," kata Ancelotti. Spalletti adalah kawan laman Ancelotti.

Ancelotti berjaya membimbang skuad Chelsea mencapai kejayaan berganda pada musim pertamanya di Stamford Bridge, tetapi malangnya telah dipecat sebaik sahaja wisel penamat musim berbunyi.

Artikel Berikut

Artikel Lain