suria

Perlis Mula Atur Langkah Sebagai Tuan Rumah Sukma 2014

KANGAR: Perlis mula mengatur langkah awal bagi menggalas tanggungjawab yang diberikan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia pada 2014 dengan menyusun semula aktiviti persatuan sukan negeri.

Sebagai langkah awal, Exco Belia dan Sukan Negeri, Abdul Jamil Saad berkata setiap persatuan sukan negeri akan diberi bantuan pentadbiran sebanyak RM3,000 setahun mulai tahun ini.

Persatuan yang diurus tadbir dengan baik dan aktif menjalankan aktiviti pembangunan sukan dapat melahirkan atlet berbakat dan berpotensi untuk meraih kejayaan di peringkat kebangsaan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada majlis penyerahan bendera Perlis kepada kontinjen Sukan Malaysia ke-14 di sini,Ahad.

Abdul Jamil berkata semua persatuan negeri perlu mengemaskini status masing-masing dengan mengadakan mesyuarat agung, mesyuarat jawatankuasa dan mengaktifkan semula semua jawatankuasa kecil.

Beliau berharap bantuan pentadbiran itu akan turut menyumbang kepada pembentukan barisan atlet negeri yang lebih mantap dan mampu menyumbang pungutan pingat pada Sukan Malaysia edisi 2014.

Mengenai Sukan Malaysia ke-14 di Lembah Klang dari 2 hingga 12 Jun ini, Abdul Jamil berkata seramai 221 atlet akan membawa cabaran negeri itu dalam 15 daripada 19 acara yang dipertandingkan.

Acara tersebut ialah lumba basikal, bina badan, bola baling, bola jaring, bola tampar pantai, futsal, kabadi, kenu, lawan pedang, ping pong, polo air, ragbi, silambam, sofbol dan tenis.

Perlis mensasarkan dua pingat emas, lima perak dan lima gangsa kali ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain