Kalmadi Didakwa Berhubung Penipuan Pemberian Kontrak Sukan Komanwel - Sukan | mStar

Kalmadi Didakwa Berhubung Penipuan Pemberian Kontrak Sukan Komanwel

Diterbitkan: Sabtu, 21 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Bekas jaguh sukan India Suresh Kalmadi didakwa di mahkamah pada Jumaat berhubung penipuan pemberian kontrak untuk pemasangan peralatan sistem masa, markah dan keputusan temasya Sukan Komanwel New Delhi (CWG).

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Penganjur CWG yang dipecat itu dituduh menawarkan kontrak pada kadar yang tinggi kepada sebuah syarikat perakam masa sukan yang berpangkalan di Switzerland.

Biro Penyiasatan Pusat (CBI) India berkata kontrak itu bernilai US$31 juta (RM97 juta) iaitu naik hampir US$21 juta (RM63 juta).

Sembilan lagi rakan Kalmadi, yang terbabit dalam penganjuran sukan itu yang diadakan Oktober tahun lepas, turut didakwa termasuk V.K Verma, bekas ketua pengarah Jawatankuasa Penganjuran CWG dan bekas presiden Persatuan Badminton India.

Kesemua mereka didakwa berkomplot mengurniakan kontrak kepada syarikat itu dengan memanipulasi prosedur tender, menurut siasatan CBI.

Kalmadi, 66, masih ditahan di Penjara Tihar, di New Delhi.

Kalmadi adalah seorang ahli politik yang berpengaruh dan kaya, merupakan Anggota Parlimen Pune, Maharashtra, juga turut didakwa menawarkan beberapa kontrak komersil lain semua pada kos yang melambung.

Kos terakhir penganjuran temasya sukan itu menelan belanja US$6 bilion (RM18 bilion), iaitu penganjuran sukan termahal setakat ini, membangkitkan kemarahan rakyat dan memaksa kerajaan India melakukan siasatan segera.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan