suria

Skuad Memanah Paralimpik Cemerlang Di Bangkok

KUALA LUMPUR: Atlet memanah Paralimpik negara meneruskan kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila empat pemanah elit melakar kejayaan di Kejohanan Memanah Piala Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) pertama di Bangkok, Thailand.

Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan, berkata pada kejohanan sembilan hari yang menutup tirainya hari ini, pemanah elit paralimpik negara berjaya merangkul dua pingat emas,

"Kejayaan di kejohanan ini menjadi kayu pengukur untuk menilai keupayaan skuad kebangsaan sebelum beraksi di Kejohanan Dunia di Itali pada Julai depan. Kejohanan Dunia ini juga adalah medan kelayakan ke Sukan Paralimpik London," kata ketua jurulatih Amirullah Ahmad.

Menurut beliau, kejayaan itu memberi gambaran awal kemampuan acara berpasukan untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Paralimpik London tahun depan.

Pingat emas Malaysia diperoleh melalui pemanah nombor satu dunia, Mohammad Salam Sidik yang menewaskan Jung Young Joo dari Korea Selatan 6-2 pada set penentuan acara individu lelaki ARW2.

Mohammad Salam yang bergandingan dengan Hasihin Sanawi dan Mohd Zafi Rahman menewaskan trio dari Thailand, 203-192 dalam acara berpasukan lelaki ARW2 untuk menyumbang pingat emas kedua buat Malaysia.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok itu turut menyaksikan pemanah wanita Nor Saadah Abdul Wahab dinafikan peluang meraih pingat emas oleh Elisabetta Minjo dari Itali, 6-0 dalam acara individu wanita ARW2.

Pingat gangsa pula diraih dalam acara beregu campuran melalui gandingan Mohammad Salam dan Nor Saadah.

"Ini adalah pemanah kita yang diyakini mampu melangkah jauh. Walaupun saya tahu cabaran yang bakal menanti sungguh getir dan memerlukan fokus latihan yang lebih selepas ini, saya akan cuba memberi khidmat yang terbaik bagi membolehkan mereka layak ke Paralimpik London," kata Amirullah.

Pada Kejohanan Ranking Dunia Memanah Paralimpik di Nove Mesto Nad Metuji, Republik Czech, yang menawarkan tiket ke Sukan Paralimpik London 2012, tahun lepas, skuad memanah berpasukan sekadar meraih pingat perak.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain