suria

Korea Selatan Bawa Pemain Utama Ke Kejohanan Boling Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyertaan pasukan Korea Selatan dalam Terbuka Malaysia Canon menjanjikan saingan yang lebih hebat dalam kejohanan itu yang diadakan di Sunway Pyramid bermula esok dan berakhir 28 Mei ini.

Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia Sidney Tung berkata Korea Selatan, yang merangkul enam pingat emas pada Sukan Asia tahun lepas, bersetuju untuk menghantar pemain-pemain utamanya.

Selain Korea Selatan, 15 negara termasuk pasukan-pasukan kuat dari Asia seperti China, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu turut mengesahkan penyertaan mereka.

Dijangkakan 400 orang peserta termasuk skuad remaja dan pelapis negara akan bertanding dalam kejohanan itu.

Peserta negara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi memberitahu Bernama bahawa beliau tidak gentar dengan kehadiran jaguh-jaguh dari negara lain.

"Saya telah melakukan persediaan sejak awal tahun lagi dan yakin boleh mencapai kejayaan lebih baik dari tahun lepas.

"Memang saingan tahun ini lebih hebat tapi dalam boling saya percaya sesiapa pun ada peluang untuk menang," katanya.

Terkandas pada peringkat suku akhir tahun lalu, Zandra Aziela berharap dapat membaiki kedudukan untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kali ini.

Beliau juga menjangkakan tentangan hebat datang daripada juara bertahan, Kelly Kulick dari Amerika Syarikat, dan Chien Hsu Lan dari Taiwan.

Bersama Zandra Aziela dalam skuad negara adalah juara bertahan lelaki Adrian Ang dan pemenang pingat emas Sukan Asia, Alex Liew. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain