Perlawanan Akhir Piala UEFA: Porto Bertemu Braga Awal Pagi Ini - Sukan | mStar

Perlawanan Akhir Piala UEFA: Porto Bertemu Braga Awal Pagi Ini

Diterbitkan: Rabu, 18 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUBLIN: Awal pagi ini (jam 3 pagi waktu Malaysia) dua pasukan dari Portugal iaitu FC Porto dan Braga akan bertemu dalam perlawanan akhir Piala Liga Eropah (dahulu dikenali sebagai Piala UEFA) di sini.

Rangkaian Astro SuperSport akan menyiarkan siaran langsung perlawanan tersebut.

Porto yang dikendalikan oleh apa yang disifatkan sebagai 'Jose Mourinho' baru bernama Andre Villas-Boas dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menang.

Boas yang baru berusia 33 tahun akan mencatat sejarah sebagai jurulatih termuda yang berjaya mengangkat trofi kejohanan Eropah seandainya Porto memenangi perlawanan malam ini.

Beliau baru sahaja mengemudi Porto untuk memenangi juara liga Portugal minggu lalu dan pada hujung minggu ini sekali lagi akan membawa pasukannya ke perlawanan akhir Piala FA Portugal menentang Vitoria Guimaraes.

Pencapaiannya tidak ubah sepertimana Mourinho ketika membawa Porto menjuari Piala UEFA pada tahun 2003.

Apa yang lebih menakjubkan lagi ialah Boas tidak pernah sama sekali bermain bolasepak secara profesional tetapi bakatnya menganalisa permainan telah mendapat perhatian daripada mendiang Bobby Robson yang mengemudi skuad Porto pada tahun 1994.

Ketika itu Boas yang baru berusia 16 tahun telah menulis surat kepada Robson mengkritik barisan pemainnya dan memberikan analisis taktikal yang kemudiannya telah menarik perhatian Robson.

Robson kemudiannya telah mengrekrut Boas sebagai salah seorang pelatih kejurulatihan di dalam pasukan remaja Porto.

Dari situlah Boas terus mempelajari seni mengurus pasukan daripada pengurus-pengurus ternama termasuklah Mourinho.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan