suria

Terengganu Intai Peluang Ke Final Piala FA

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu mengintai peluang untuk beraksi di perlawanan akhir Piala FA buat kali pertama sejak 2004, selepas menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Darul Makmur, Jumaat.

Pengurus pasukan Datuk Che Mat Jusoh berkata kejayaan itu membuka laluan Terengganu untuk beraksi di pentas akhir kerana perlawanan kedua akan berlangsung di tempat sendiri.

"Dalam awal perlawanan semalam kita ketinggalan dua gol kepada Pahang, namun para pemain telah membuktikan bahawa mereka memiliki semangat juang yang tinggi untuk bangkit dengan kemenangan 3-2," katanya ketika ditemui, di sini Sabtu.

Katanya strategi jurulatih Irfan Bakti yang membuat lima pertukaran dalam perlawanan itu membuahkan hasil.

Pada perlawanan itu, kelekaan barisan pertahanan Terengganu menyebabkan gawang mereka dibolosi dua kali pada minit ke-47 dan 54, sebelum bangkit garang menundukkan Pahang dengan gol pada minit ke-63, 81 dan minit akhir perlawanan.

Dalam pada itu, Che Mat berharap penyokong Terengganu berdisiplin ketika menerima kunjungan Pahang pada pertembungan separuh akhir kedua Isnin ini.

"Kita buktikan kepada mereka (penyokong Pahang) bahawa kita boleh berkelakuan baik sepanjang perlawanan itu nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham Pecat Grant

Artikel Berikut

Artikel Lain