Perbincangan Hasrat Asean Bida Piala dunia 2030 Dibincang Minggu Depan

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan mengadakan mesyuarat dengan pelbagai pihak pada minggu depan bagi membincangkan hasrat Asean untuk membida menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia pada tahun 2030.

Menurut satu kenyataan dari kementerian itu, antara pihak yang akan terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan serta agensi berkaitan.

"Mesyuarat itu adalah lanjutan daripada inisiatif Menteri-Menteri Luar Asean semasa Sidang Kemuncak Asean ke-18 di Jakarta pada minggu lepas yang mahu mengadakan kajian komprehensif dan bekerjasama dengan AFF bagi merealisasikan bidaan Asean untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030," menurut kenyataan itu.

Malaysia yakin bola sepak dan sukan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat Asean dan seterusnya memupuk semangat komuniti Asean, kata kenyataan tersebut.

Idea untuk bidaan bersama bagi 10 negara Asean menjadi penganjur Piala Dunia 2030 tercetus pada Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Asean di Lombok, Indonesia pada Januari lepas.

Pada sidang itu, Malaysia diserahkan tugas untuk mengemukakan kertas kerja berhubung cadangan tersebut yang turut mendapat sokongan daripada AFF.

Kertas kerja awal mengenai bidaan tersebut kemudian dibentangkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim kepada AFF pada April.

Brazil akan menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2014 diikuti Rusia (2018) dan Qatar (2022).

Argentina dan Uruguay sebelum ini menyatakan hasrat untuk membuat bidaan bersama bagi edisi tahun 2026. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan