suria

Piala Sudirman: Malaysia Sasar Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Menyedari kekurangan pemain handal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah selamat untuk sekadar menyasarkan ke suku akhir pada Piala Sudirman di Qingdao, China, 22-29 Mei ini.

Setiausaha badan itu Ng Chin Chai berkata antara faktor yang mengurangkan kelebihan Malaysia adalah persaraan perseorangan wanita Wong Mew Chew dan kecergasan Wong Pe Tty yang diragui berikutan baru pulih daripada kecederaan.

"Jika skuad negara dapat mencapai lebih daripada suku akhir itu dikira bonus," katanya.

Ng berkata skuad negara, yang diletakkan dalam kumpulan B bersama Indonesia dan Rusia, dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Rusia untuk melangkah ke suku akhir.

"Namun selepas mencecah suku akhir, kita mungkin bertemu pasukan yang kuat yang mampu menamatkan saingan skuad negara," katanya.

Selain itu beliau berkata persiapan skuad negara dalam menghadapi kejohanan tersebut adalah memuaskan setakat ini.

"Para pemain yang terpilih untuk mewakili negara telah mula berlatih sejak dua bulan lepas dan mulai minggu ini pemain beregu campuran akan mula berlatih bersama-sama," katanya.

Skuad negara dibarisi oleh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei dan Chong Wei Feng, pemain beregu lelaki Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Chan Peng Soon dan Hoon Thien How, perseorangan wanita Lydia Cheah dan Tee Jing Yi serta pemain beregu wanita Chin Ee Hui, Wong Pei Tty, Goh Liu Ying dan Vivian Hoo.

Dalam kejohanan tersebut Malaysia diletakkan dalam kumpulan 12 pasukan elit yang turut dibarisi China, Indonesia, Taiwan, Denmark, Jepun, Thailand, Korea Selatan, Jerman, Rusia, India dan England.

Sebnayak 21 negara lain yang mengambil bahagian termasuk Hong Kong, Belanda, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat akan bermain dalam kumpulan peringkat dua yang dibahagi pada lima subkumpulan.

Sejak diperkenalkan pada 1989, Malaysia tidak pernah membawa pulang piala tersebut yang tujuh kali menjadi milik pasukan China.

Indonesia hanya menang sekali pada 1989 dan Korea pula menang tiga kali iaitu pada 1991, 1993 dan 2005.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain