suria

Dewan Bankuet MSN Perak Jadi Akademi Hoki

IPOH: Dewan Bankuet Majlis Sukan Negara (MSN) negeri Perak yang diserahkan kepada Persekutuan Hoki Asia (AHF) dan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) akan diubahsuai menjadi sebuah akademi hoki.

Pengerusi Jawatankuasa Akademi AHF-PHM, Datuk Abdul Rahim Md Ariff, berkata akademi tersebut akan digunakan oleh jurulatih dan pengadil sukan itu bagi tujuan pembangunan hoki tempatan dan negara-negara Asia.

"Ini merupakan pusat pengembangan hoki, jurulatih dan pengadil dari seluruh negara Asia akan menjalani latihan dan pelbagai kursus untuk memberikan nilai tambah demi pembangunan sukan ini.

"Ia tidak terhad kepada pengadil dan jurulatih tetapi sebaliknya akan digunakan untuk pembangunan dan kemahiran pegawai teknikal," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan itu, di sini, Isnin.

Presiden AHF, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, merasmikan penyerahan bangunan itu serta menyampaikan sijil kepada kumpulan pertama yang terdiri daripada 32 pelatih pengadil remaja dari 13 negara yang tamat latihan hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Leandro Negre dan setiausaha agung AHF, Tan Sri P. Alagendra.

Abdul Rahim berkata kerja-kerja pengubahsuaian dewan itu akan menelan belanja sebanyak RM890,000 dan akan dimulakan tidak lama lagi.

Beliau berkata akademi itu merupakan akademi pertama di dunia yang menyediakan premis untuk jurulatih, pengadil, pegawai teknikal serta para pelatih.

Katanya Dewan Bankuet itu dipilih kerana ia berhampiran dengan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah selain dilengkapi kemudahan asrama dan dewan makan bagi kemudahan pelatih.

"Skop projek ini melibatkan pembinaan insfrastuktur seperti kemudahan gelanggang yang akan digunakan sebagai pusat pembelajaran, latihan kejurulatihan, pembangunan dan kelas," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain