suria

Tengku Amirul Tetap Optimis

Tengku Amirul memeriksa jenteranya menjelang perlumbaan minggu ini.
Tengku Amirul memeriksa jenteranya menjelang perlumbaan minggu ini.
Tengku Amirul memeriksa jenteranya menjelang perlumbaan minggu ini.

PELUMBA kategori CP115, Tengku Amirul Haffiruddin tetap optimis dengan peluangnya menjelang Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mei ini.

Berdasarkan aksi sebelum ini, Tengku Amirul sehingga kini masih gagal menamatkan sebarang perlumbaan kerana mengalami kemalangan pada kedua-dua pusingan di Kangar (Pusingan 1) dan Batu Kawan (Pusingan 2).

Pelumba berusia 14 tahun itu menjelaskan prestasinya tidak menentu ekoran kurang pengalaman untuk menyaingi kemampuan pelumba-pelumba berpengalaman lain dalam kategori terbuka ini.

“Tahun 2011 merupakan musim kedua saya beraksi di Kejuaraan Cub Prix. Berbanding dengan pelumba lain, saya terus melompat masuk beraksi di dalam CP115. Sudah tentu pengalaman saya kurang berbanding pesaing lain di dalam kelas ini.

“Ini menjadi punca utama saya gagal menamatkan perlumbaan pada dua pusingan sebelum ini.

"Di Kangar saya terjatuh kerana keadaan litar yang licin, manakala akibat terburu-buru dan saya hilang kawalan ke atas jentera Yamaha saya di Batu Kawan,” kata pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu.

Tengku Amirul turut menjelaskan tentang sasarannya pada Pusingan 3 serta keadaan pasukannya yang masih belum menemui pelarasan terbaik untuk disesuaikan dengan gaya tunggangannya.

“Selain daripada kurang pengalaman, kami juga masih gagal untuk menemui pelarasan terbaik bagi jentera Yamaha saya.

"Kadangkala ia memberi tindak-balas yang baik di atas litar tetapi kadangkala ia tidak begitu konsisten," katanya.

Menjelang aksi di tempat sendiri, Tengku Amirul meletakkan sasaran untuk mencapai keputusan yang lebih baik.

"Saya mahu mencuba untuk berada di kelompok lima pelumba terbaik dan tidak mahu mengecewakan keluarga, kawan-kawan dan penyokong saya yang berada di sini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain