suria

Pafa Bincang Prestasi Pasukan Merudum

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) akan bermesyuarat petang Isnin bagi membincangkan secara terperinci prestasi skuad tersebut yang semakin merudum dalam beberapa perlawanan akhir-akhir ini.

Antara perkara yang akan menjadi agenda utama dalam mesyuarat itu adalah soal jurulatih pasukan, Norizan Bakar yang dikatakan gagal menyusun strategi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Selain itu, mesyuarat itu juga akan membincangkan mengenai aksi tidak konsisten skuad tersebut berbanding awal musim yang kini amat meresahkan keseluruhan pengurusan.

Presiden Pafa Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata meskipun beliau masih belum panik dengan keadaan itu namun mengakui memang ada sesuatu yang tidak kena dengan skuad tersebut.

"Kita akan mencari penyelesaian permainan hambar dalam lima perlawanan terakhir termasuk berkongsi satu mata dalam pertembungan dengan Pahang pada Jumaat lalu.

"Hari Isnin ni kita ada mesyuarat pengurusan dan akan melihat prestasi Perak yang kebelakangan ini agak hambar," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya kita akan membincangkan soal prestasi pasukan yang agak mengecewakan dan yang ini saya sendiri akui sebab ia melibatkan nama pasukan dan juga nama persatuan.

Bagaimanapun, Zainol yang juga Exco Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri berkata setakat ini beliau tidak mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak termasuk Norizan.

Meskipun ada pihak yang mahu kedudukan Norizan sebagai pengendali skuad dikaji semula namun beliau berkata biarlah perkara itu dibincangkan pada mesyuarat itu nanti.

Beliau berkata ini bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi yang lebih penting meneliti dan menilai laporan pengurusan skuad sebelum mengambil satu-satu keputusan.

Perak menduduki tangga kelima dalam Liga Super yang memperolehi 27 mata selepas mencatatkan tujuh kemenangan setakat ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain