suria

Chong Wei Berada Di Landasan Terbaik

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) menyampaikan hadiah Chong Wei yang muncul juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, Ahad. Foto: BERNAMA
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) menyampaikan hadiah Chong Wei yang muncul juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, Ahad. Foto: BERNAMA
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) menyampaikan hadiah Chong Wei yang muncul juara pada Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Stadium Sultan Abdul Halim, Ahad. Foto: BERNAMA

JAGUH badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei ternyata kini berada di landasan terbaik selepas terus bergelar juara dalam empat kejohanan yang disertainya tahun ini.

Biarpun sebelum ini sukan badminton tanah air sedikit gempar dengan peletakan jawatan sifunya, Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih negara, namun itu semua tidak menjadikan alasan untuk Chong Wei terus melakar kejayaan demi kejayaan di bawah kendalian jurulatih barunya, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock.

Terbaru, Chong Wei baru sahaja mencipta kejayaan pada Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Kedah pada Ahad sekali gus ia menjadikan kejayaan ketiga berturut-turut bagi kejohanan ini.

Beliau turut menjulang trofi kejayaan Seluruh England, Siri Super Terbuka India serta Siri Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim ini, Chong Wei menamatkan langkah pemain pilihan ketujuh, Bao Chunlai dari China sekali gus mencatatkan 12 kemenangan dan empat kalah sepanjang pertemuan mereka.

Rentetan kejayaan Chong Wei yang terus menunjukkan aksi konsisten telah menambahkan lagi keyakinan peminat sukan badminton tanah air untuk melihat pemain kelahiran Pulau Pinang ini merangkul emas pertama pada Sukan Olimpik tahun depan.

Beliau yang dianggap sebagai prospek emas negara dilihat mampu memburu kejayaan berterusan tanpa sebarang halangan, lebih-lebih lagi tahun ini juga Chong Wei telah membuktikan kehebatannya apabila menewaskan musuh tradisi dari China, Lin Dan pada kejohanan Seluruh England Mac lalu.

Jika sebelum itu, Lin Dan dianggap penghalang untuk meraih pingat emas di Olimpik, tetapi kini beliau sudah menemui formula tersendiri mematikan corak permainan pantas Lin Dan.

Selepas ini Chong Wei dijangka akan meneruskan rentak kejayaan dalam beberapa lagi siri kejohanan antarabangsa.

Pencapaian Chong Wei sehingga Mei 2011:

1.Juara Terbuka Malaysia (kalahkan Taufik Hidayat)

2.Juara Seluruh England (kalahkan Lin Dan)

3. Juara Siri Super Terbuka India (kalahkan Peter Gate)

4. Juara Grand Prix Emas Terbuka Malaysia (kalahkan Bao Chunlai)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain