suria

PTAM Hantar Lima Petinju ke Sukan Arafura

KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) akan menghantar lima peninju untuk beraksi di temasya Sukan Arafura yang akan berlangsung di Darwin, Australia Sabtu ini sebagai medan pemanas badan sebelum ke Sukan SEA di Indonesia November ini.

Setiausaha Kehormat PTAM Maulud Othman berkata kejohanan tersebut akan disertai empat peninju elit dan seorang peninju pelapis.

"Hasil perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), kita telah bersetuju untuk menambah seorang lagi peninju dari skuad pelapis.

"Selain empat peninju elit itu, PTAM telah memilih seorang peninju pelapis iaitu Mohd Sabri Khamis yang akan mengambil bahagian dalam kategori 50kg untuk digilap bakat kerana beliau berpotensi dalam prospek pingat," katanya.

Maulud berkata Mohd Farhan Mohd Haron yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Laos dalam kategori 69kg akan mengetuai barisan peninju negara di samping tiga lagi peninju elit iaitu Mohd Fuad Redzuan (kategori 49kg), Mohd Fairuz Azwan Abdullah (kategori 75kg) dan Mohd Khir Azlan Azli (kategori 64kg). "Kita mensasarkan kesemua mereka mendapat pingat tanpa warna dalam setiap kategori kerana saingan dalam acara tinju di temasya itu agak sengit," katanya.

Seramai 17 atlet Malaysia di bawah kendalian MSN, 12 daripadanya atlet paralimpik, akan menyertai temasya Arafura yang akan berlangsung sehingga 14 Mei.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain