Chong Wei & Dua Beregu Negara Ke Separuh Akhir Terbuka M'sia

Diterbitkan: Jumaat, 6 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Datuk Lee Chong Wei dan dua pasangan beregu menjadi pemain negara yang bakal beraksi di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, selepas menang saingan suku akhir, Jumaat.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei layak ke peringkat separuh akhir apabila menewaskan pemain Perancis Brice Leverdez 21-17 dan 21-8 manakala gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang merupakan pilihan pertama kejohanan, bangkit selepas tewas pada set pertama untuk menundukkan pasangan Jepun Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 15-21, 21-14 dan 21-17.

Sementara itu, gandingan muda negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying membuat kejutan dalam acara beregu campuran apabila menewaskan pasangan kedua dunia Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam dari Thailand.

Meskipun tewas pada set pertama, pasangan nombor 18 dunia itu tidak mudah mengalah dan bangkit pada dua set seterusnya sebelum menundukkan lawan 25-27, 21-17 dan 21-14 dalam masa 56 minit.

Pasangan itu akan bertemu gandingan Indonesia Fran Kurniawa-Pia Zebadiah manakala Chong Wei bakal berdepan Sho Sasaki dari Jepun pada separuh akhir esok.

Gandingan Kien Keat-Boon Heong pula seolah-olah tidak ada persefahaman pada set pertama apabila tewas 15-21, namun kembali mempamerkan aksi hebat mereka untuk menang dua set berikutnya 21-14 dan 21-17.

Esok mereka akan bertemu pasangan Belanda Ruud Bosch-Koen Ridder.

Hajat untuk melihat satu lagi beregu campuran negara mara ke separuh akhir terkubur apabila pasangan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Ng Hui Lin tewas di tangan pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, 6-21 dan 18-21.

Sementara itu, aksi cemerlang beregu lelaki negara Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Vountus Indra Mawan semalam gagal diteruskan hari ini apabila mereka tewas dalam saingan suku akhir hari ini.

Pasangan muda itu tewas kepada pilihan kelapan kejohanan Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo dari Korea 13-21 dan 17-21.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan