suria

Tidak Wajar Bubarkan T-Team: Shafie Pak

KUALA TERENGGANU: Jurulatih sementara pasukan T-Team Shafie Pak berkata cadangan kerajaan Terengganu untuk membubarkan pasukan itu jika tidak menunjukkan prestasi yang baik pada baki perlawanan musim ini, sebagai tidak wajar.

"Ia tak wajar kerana hanya 10 peratus daripada pemain T-Team bintang.

Bagi mereka tidak ada masalah untuk mereka beralih ke mana-mana pasukan lain jika pasukan itu dibubarkan.

"Tetapi, apa akan jadi kepada pemain lain, bagaimana nasib mereka," katanya.

Shafie yang menggantikan sementara tugas Ketua Jurulatih Yunus Alif yang direhatkan sementara, mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang memberi tempoh setahun kepada pasukan T-Team untuk memperbaiki mutu permainan mereka atau pasukan itu dibubarkan.

Persembahan hambar pasukan T-Team meletakkannya antara pasukan tercorot Liga Super dan ia menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong sehingga menggesa jurulatih T-Team ditukar. Pada 25 April lepas, pihak pengurusan mengambil tindakan merehatkan sementara Ketua Jurulatih Yunus Alif, tindakan yang dipercayai untuk meredakan suasana.

Yunus tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasannya, bagaimanapun Bernama difahamkan beliau akan menyambung semula tugas sebagai Ketua Jurulatih T-Team, hari ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain