suria

Kecederaan Punca Mohd Amin Digugurkan

IPOH: Pemain pertahanan Mohd Amin Rahim bersama empat pelatih lain digugurkan dari skuad kebangsaan yang akan menggalas cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2011 di sini, mulai Khamis ini.

Selain Mohd Amin, empat pelatih yang gagal diserapkan dalam skuad bimbingan Tan Beng Hai ialah Azreen Rizal Nasir, Shahrin Mohamad, Mohd Azri Hassan dan Muhammad Rashid Baharom.

Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menamakan skuad seramai 20 pemain untuk mengharungi kejohanan tujuh negara itu selepas perlawanan persahabatan menentang Pakistan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini pada Selasa.

Beng Hai memberitahu media bahawa Mohd Amin terpaksa direhatkan daripada kejohanan itu kerana pemain itu masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan buku lali yang dialami pada Mac lalu.

"Walaupun kecederaannya semakin pulih, namun ia mungkin berulang jika beliau dibenarkan bermain dalam kejohanan berprestij itu," kata Beng Hai selepas pasukan negara tewas 2-4 dengan Pakistan.

Kejohanan 11 hari itu disertai oleh Australia, Pakistan, England, New Zealand, India, Korea Selatan dan Malaysia.

Malaysia akan memulakan saingan dengan menentang England Khamis ini dan Australia pada hari berikutnya.

Mengenai harapan pasukan negara pada kejohanan itu, Beng Hai berkata beliau tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan kesemua pasukan yang bertanding mempunyai ranking dunia yang lebih baik daripada Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap sasaran PHM untuk pasukan negara muncul antara empat pasukan terbaik kejohanan sesuatu yang membebankan malah menyifatkan sasaran itu adalah baik untuk anak buahnya. Barisan Pemain Negara:

S. Kumar, Roslan Jamaluddin, Muhammad Razie Abd Rahim, Baljit Singh, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, Mohd Firhan Ashaari, Mohd Shahrun Nabil Abdullah, Mohamad Sukri Abdul Mutalib. Muhammad Marhan Mohd Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor, Tengku Ahmad Tajudin A. Jalil, Faizal Saari, Azlan Misron, Hafifihafiz Hanafi, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Kevinder Makbul Singh, Muhamad Azammi Adabi, Muhammad Izzat Mohd Rahim, Mohd Fitri Abu Bakar dan Faiz Helmi Jali.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain