Fujiwara Raih Kemenangan Berganda

Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fujiwara mengungguli pusingan pertama ARRC di Litar Sepang, Ahad.
Fujiwara mengungguli pusingan pertama ARRC di Litar Sepang, Ahad.

SEPANG: Seperti dijangkakan, Katsuaki Fujiwara berjaya meraih kemenangan berganda dalam kategori SuperSports 600cc pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara), Ahad.

Pada Perlumbaan 1 yang sepatutnya berlangsung sebanyak 25 pusingan, Fujiwara diumumkan sebagai pemenang dengan catatan masa keseluruhan 22 minit 28.203 saat setelah perlumbaan terpaksa diberhentikan pada pusingan ke-22 apabila bendera merah dikibarkan akibat terdapat tumpahan minyak di atas litar.

Pelumba Manual-Tech BEET Kawasaki Racing itu mempamerkan prestasi yang cukup hebat untuk mengetepikan cabaran Chalermpol Polamai dan Decha Kraisart dari pasukan Yamaha Thailand Racing.

Chalermpol menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 22:28.379s namun malang buat Decha kerana gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh pada pusingan 19. Tempat ketiga menjadi milik pelumba Boon Siew Honda Racing Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dengan catatan 22:30.875s.

Perlumbaan 2 juga berlangsung sebanyak 20 pusingan selepas terpaksa dimulakan sekali lagi akibat Chalermpol terbabas di selekoh kedua pada pusingan kedua perlumbaan.

Kali ini, sebaik lampu merah dipadamkan Fujiwara tidak memberikan sebarang peluang buat lawannya apabila menguasai perlumbaan dari mula sehingga ke garisan penamat.

Pelumba veteran ini menamatkan perlumbaan secara bersendirian dengan catatan 7.663 saat mengatasi pesaing terdekatnya, Decha.

Decha terpaksa berpuas hati dikedudukan kedua dengan masa 22:35.590s manakala Azlan sekali lagi berjaya menjejak kaki di podium ketiga dalam masa 22:35.715s.

Fujiwara yang begitu gembira dengan kejayaan berganda pada musim pertamanya di ARRC berkata, “Segalanya begitu sempurna buat kami sejak dari sesi kelayakan sehingga ke hari perlumbaan.

"Jurutera pasukan melakukan kerja yang begitu menakjubkan terhadap jentera dan tugas saya pula adalah untuk mengekalkan prestasi yang konsisten dalam kedua-dua perlumbaan.

“Melihat kepada Perlumbaan 1, kedua-dua pelumba Thailand, Decha dan Chalermpol merupakan lawan yang hebat dan saya perlu menjarakkan diri daripada mereka secepat mungkin.

"Oleh itu, pada Perlumbaan 2, saya memberi sepenuh perhatian pada awal pusingan dan berjaya menjarakkan diri daripada pencabar-pencabar terdekat,” tambah Fujiwara yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.

Sementara itu, Azlan yang berada di kedudukan ketiga dalam kedua-dua perlumbaan berada di tangga kedua keseluruhan dengan 32 mata.

Namun begitu, Azlan sedikit kecewa terutama setelah terlepas peluang untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada Perlumbaan 2.

“Saya melepaskan peluang terbaik untuk berada di kedudukan kedua pada Perlumbaan 2 apabila Decha dapat menggunakan kelemahan saya untuk mengambil Selekoh 2 dan berjaya memintas di situ.

Walau bagaimanapun, saya gembira kerana dapat memberikan dua kemenangan kepada pasukan baru saya setelah mereka bertungkus lumus untuk mendapatkan pelarasan terbaik bagi menghadapi perlumbaan minggu ini,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Dalam kategori Underbone 115cc, Rafid Topan Sucipto berjaya mencuri perhatian pada Perlumbaan 1.

Pelumba harapan Yamaha, Shahril Izzuwan Mohd Noor berada di tempat kedua setelah melintasi garisan penamat dengan ketinggalan 0.034s di belakang.

Rafid menamatkan perlumbaan sebanyak 14 pusingan itu dengan catatan masa keseluruhan 20:06.317s manakala Shahril yang mewakili PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM di tempat kedua dengan catatan 20:06.351s diikuti Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor Manual Tech) ketiga dengan 20:10.611s.

Pada Perlumbaan 2, kemenangan bersih dicatatkan oleh pelumba Negara apabila menguasai ketiga-tiga kedudukan podium.

Mohd Rozaliman Zakaria dari ZAR Racing Motorsports mencipta kejutan apabila memenangi perlumbaan dengan catatan masa 20:05.638s.

Rakan senegara, Shahril dan Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan catatan masa 20:05.668s dan 20:05.691s.

“Pada Perlumbaan 2, saya terpaksa menunggu sehingga ke beberapa pusingan akhir untuk menggunakan kuasa jentera saya sepenuhnya dan gembira kerana berjaya memintas Shahril dan Amirul untuk melintasi garisan penamat sebagai juara.

"Kami beraksi di tempat sendiri dan gembira kerana berjaya menghadiahkan ketiga-tiga kemenangan pada Perlumbaan 2 ini kepada seluruh penyokong-penyokong tempatan,” kata Rozaliman yang berusia 20 tahun.

Sementara itu, juara Perlumbaan 1, Rafid gagal menamatkan perlumbaan kerana mengalami masalah mekanikal.

Shahril menguasai kedudukan keseluruhan apabila mengutip 40 mata diikuti Rozaliman dengan 36 mata manakala Hadi Wijaya ketiga dengan 26 mata.

Shahril, 23 tahun berharap kejayaan di Pusingan 1 Kejuaraan ini dapat membantunya untuk mengejar gelaran juara keseluruhan musim ini.

“Saya berharap keputusan positif pada permulaan musim ini akan berterusan pada pusingan akan datang di Indonesia,” katanya.

Pusingan 2 Kejuaraan akan berlangsung di Litar Sentul, Indonesia pada 10 – 12 Jun.

Untuk maklumat lanjut sila lawati laman web Kejuaraan, www.arrc.com.my.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan