suria

Azizulhasni Akan Mulakan Latihan Selepas Majlis Persandingan

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang akan memulakan latihan intensif bagi menghadapi beberapa kejohanan besar secara berperingkat sebaik selepas majlis persandingannya hujung minggu ini.

Olahragawan Lelaki 2010 itu dijadual membuat persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade 2011) di Shenzen, China pada 12 hingga 23 Ogos.

"Saya masih lagi berehat...mungkin lepas majlis persandingan (Sabtu dan Ahad ini) saya akan memulakan semula latihan. Setakat ini saya tidak membuat latihan berbasikal yang berat, saya cuma buat latihan seperti berenang, berlari dan latihan di gimnasium.

"Syukur, setakat ini tak ada apa-apa yang buruk berlaku. Kesakitan masih terasa khususnya di bahagian kulit (betis kiri) sahaja dan ia tidak ada kaitan dengan sistem motor," katanya kepada pemberita.

Mohd Azizulhasni akan berada di Malaysia sehingga penghujung April ini sebelum kembali ke Melbourne, Australia untuk meneruskan latihan di sana.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni menjadi penerima pertama Anugerah "Outstanding Achiever" Yayasan Sime Darby (YSD) dengan menerima RM20,000 daripada Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

Selain anugerah itu, beliau turut dipilih sebagai duta YSD untuk kempen mengutip dana bagi Tabung Leukemia YSD yang turut dilancarkan pada Rabu.

Mohd Azizulhasni, 22, mengalami kemalangan serius pada 19 Februari lepas apabila betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England.

Beliau bagaimanapun tetap berupaya menghabiskan perlumbaan untuk meraih pingat gangsa pada perlumbaan itu.

Mengenai anugerah yang diterimanya itu, Mohd Azizulhasni berkata ia adalah satu penghargaan buatnya.

Sebagai duta kepada Tabung Leukemia YSD, beliau berharap dana untuk tabung itu akan dapat dikutip melalui Program Kayuhan Amal yang akan dijalankan dengan kerjasama YSD, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Perbadanan Putrajaya yang dijadual diadakan di Putrajaya akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain