suria

Lima Atlet Kebangsaan Tersenarai Rebut Anugerah Masum

KUALA LUMPUR: Lima atlet kebangsaan adalah antara yang tersenarai untuk Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2010 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 April ini.

Mereka terdiri daripada atlet terjun negara Bryan Nickson Lomas Temizi (UM), Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek (Tenpin Boling-UPM) dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (Skuash-UiTM) bagi calon olahragawan, manakala calon olahragawati pula terdiri daripada atlet wushu Chai Fong Ying (UPM) dan Fan Xiao Jun (Ping Pong-UM).

Pengerusi Jawatankusa Panel Pemilihan Anugerah Sukan Masum 2010 Prof. Madya Dr. Kassim Mohd Mansur berkata pemilihan diukur berdasarkan pencapaian tertinggi atlet di kejohanan antarabangsa dan tempatan sepanjang tahun lepas dan tahun ini.

"Kesemua 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menghantar nama calon atlet terbaik mereka untuk anugerah ini dan hanya atlet terbaik sahaja dipilih untuk disenarai pendek," katanya kepada pemberita disini Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Universti Malaysia Sabah (UMS) berkata objektif anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 itu adalah bagi menghargai usaha dan susah payah atlet IPTA dalam meningkatkan mutu pencapaian sukan negara.

Kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Bintang Harapan Lelaki, Bintang Harapan Wanita, Pasukan Terbaik Lelaki, Pasukan Terbaik Wanita, Pengurus Terbaik, Jurulatih Terbaik, Tokoh Sukan Masum, Anugerah Sekalung Budi, Anugerah Rakan Sukan Masum, Anugerah Atlet Terbaik Lelaki Universiti dan Anugerah Atlet Terbaik Wanita Universiti.

Kassim berkata satu kategori baru yang diperkenalkan tahun ini ialah Anugerah Khas Masum yang akan diberikan kepada atlet dari luar negara.

"Tujuan anugerah itu adalah untuk merapatkan hubungan kerjasama antara dua negara," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain