Bale Tingkat Usaha Untuk Kembali Cergas

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penampilan Bale menentang Real masih menimbulkan tanda tanya. - Foto AP/Sang Tan
Penampilan Bale menentang Real masih menimbulkan tanda tanya. - Foto AP/Sang Tan

GARETH Bale sedang berusaha untuk tampil cergas menjelang pertemuan getir menentang Real Madrid selepas Tottenham Hotspur mendedahkan dia bergelut dengan regangan di bahagian hamstring ketika beraksi bersama Wales.

Pemain berusia 21 tahun itu diketepikan pengurus Gary Speed dalam pertemuan menentang England, Sabtu lalu selepas mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan.

Dia kemudiannya dihantar untuk menjalani pemeriksaan imbasan pada Isnin.

Keputusan imbasan mendapati pemain sayap itu mengalami regangan tahap satu yang memerlukan tempoh rawatan selama tujuh hingga 10 hari.

Spurs akan terus memantau kondisi kecederaan Bale menjelang aksi menentang Wigan hujung minggu ini.

Bagaimanapun, penampilannya dalam perlawanan pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real, Selasa depan masih mengundang tanda tanya.

Segalanya bergantung terhadap reaksi balas yang ditunjukkannnya terhadap kecederaan itu.

"Gareth sudah kembali ke Spurs Lodge dan giat menjalani rawatan pemulihan. Kami telah menghantarnya untuk menjalani pemeriksaan imbasan ultra bunyi. Keputusan itu mengesahkan dia mengalami regangan kecil di hamstring.

"Grateh tidak mengadu mengalami sebarang kesakitan atau kekejangan selepas mengambil bahagian dalam larian awal pagi Isnin. Kami akan terus memantau kondisi kecederaannya dan berharap agar dia cepat sembuh," menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web Spurs.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan