suria

Nik Fakaruddin, Nor Amelia Ungguli Larian Malakoff Pulau Pinang 2011

GEORGE TOWN: Dua peserta negara, Noor Amelia Musa dan Nik Fakaruddin Ismail masing-masing menjuarai kategori terbuka wanita dan lelaki pada Kejohanan Larian Malakoff Pulau Pinang 2011 di Taman Perbandaran, di sini, Ahad.

Amelia, 25, menamatkan perlumbaan 26 kilometer dalam masa satu jam, 54 minit 26 saat untuk meraih baucer peralatan sukan bernilai RM 1,000.

"Saya gembira dapat mempertahan kejuaraan saya tahun lepas, ini adalah kejuaraan pertama untuk tahun ini, ini hasilnya setelah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Pelari berasal dari Perak itu sebelum ini pernah memenangi tempat pertama kategori wanita pada Penang Bridge Run, Ipoh International Run, juara keseluruhan Lumba Daki Gunung Sirkit Negeri Sembilan serta tempat ketiga di KL Maraton pada tahun lepas.

"Kejohanan ini adalah permulaan bagi tahun ini, dan saya sedang melakukan persediaan rapi untuk menyertai KL Maraton tahun ini serta berkerja keras untuk memenangi kejohanan itu," katanya.

Bagi kategori terbuka lelaki, Nik Fakaruddin Ismail, 26, berjaya mencatatkan tempoh masa satu jam 31 minit 46 saat.

"Ini adalah penyertaan sulung dengan jarak sejauh 26 kilometer dan saya tidak menjangka untuk menjuarainya, berbaloi saya datang dari Taiping untuk sertai kejohanan itu" katanya.

Bagi kategori junior wanita (8km) , tempat pertama dimenangi oleh N.Mashni dengan cacatan masa 39:52.2 manakala bagi kategori junior lelaki (8km) dimenangi Nigel Yeap Kean Teong (31:35.3), kedua-duanya dari Malaysia.

Sementara itu, bagi kategori senior veteran wanita (26km) dimenangi Tan Chin Fong (2:14:35.7) manakala kategori lelaki dimenangi Khor Ngee Leong (1:47:20.3).

Kedua-dua peserta dari Malaysia.

Kategori veteran wanita dan lelaki (26km) masing-masing dimenangi peserta Malaysia, Ng Sun Nee (2:09:14.3) dan Khir Salleh (1:45:16.9).

Selain itu, kategori wanita (8km) dimenangi oleh Breugem Patricia Martina dari Afrika Selatan dengan catatan masa 39:16.2 manakala pelari dari Malaysia S. Tanakandiran mengungguli kategori lelaki dengan masa (29:17.6).

Kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Negeri itu disertai 1,000 peserta dalam 10 kategori yang menawarkan hadiah baucer peralatan sukan.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain