suria

Tiket Sukan Olimpik London 2012 Mula Dijual Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiket Sukan Olimpik 2012 di London mula dijual kepada orang awam di Malaysia mulai 15 Mac hingga 22 April ini, menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Setiausahanya, Datuk Sieh Kok Chi berkata, MOM telah melantik Aristeia Sports Communication (ASC), sebagai ejen tiket bagi rakyat Malaysia yang ingin menyaksikan temasya sukan itu dari 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.

"ASC telah meminta semua rakyat Malaysia yang ingin membeli tiket supaya membuat tempahan di [email protected]," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Pihak penganjur Sukan Olimpik 2012 telah menawarkan sejumlah 8.8 juta keping tiket dengan 75 peratus atau 6.6 juta tiket akan dijual kepada penduduk Britain dan kawasan Kesatuan Eropah manakala baki 2.2 juta tiket diperuntukan untuk peminat dari benua lain.

Sieh berkata, peruntukan tiket bagi setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan sebahagian besar berdasarkan peruntukan acara pada Sukan Olimpik lepas bersama penilaian peluang memenangi pingat dan ramalan kepentingan penonton.

"Bagi Malaysia terdapat peruntukan lebih untuk badminton, berbasikal dan acara terjun di mana Malaysia mempunyai peluang besar untuk meraih pingat," katanya.

Menurut Sieh, MOM kecewa dengan peruntukan tiket bagi Malaysia yang menurun 30 peratus berbanding Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Katanya MOM telah menempah 999 tiket berdasarkan permohonan persatuan sukan kebangsaan dan pegawai MOM pada 30 Nov tahun lepas. Bagaimanapun, hanya 646 keping tiket diperuntukan.

"Kami sudah membuat rayuan kepada jawatankuasa penganjur untuk mendapatkan peruntukan tambahan tetapi peluang adalah tipis. Pemintaan tiket tahun ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada tawaran," katanya.

Katanya, jawtankuasa kerja Sukan Olimpik 2012 London akan mengadakan undian bagi menentukan negara yang menerima baki peruntukan tiket selepas jualan tiket global ditutup pada 22 April ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain