suria

Pesta Boling Hari Wilayah Persekutuan Cungkil Bakat Baru Pemain Paralimpik

KUALA LUMPUR: Edisi kedua Pesta Boling Hari Wilayah Persekutuan menjadi medan pemain boling paralimpik merebut peluang dipilih mewakili negara.

Seramai 150 pemain yang terdiri daripada pelbagai kategori kelainan upaya cacat penglihatan (TPB1, TPB2, TPB3), berkerusi roda (TPB8), kudung (TPB9, TPB10) dan kerdil mengambil bahagian dalam kejohanan sehari yang berlangsung di Kuala Lumpur Mega Lanes, Endah Parade di Sri Petaling dekat sini, Sabtu.

"Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Penyertaan bukan sahaja daripada kalangan pemain Kuala Lumpur tetapi juga dari beberapa negeri lain," kata pengarah kejohanan Steven Teng kepada Bernama.

Menurut beliau, pertandingan tersebut adalah untuk mencari barisan pemain yang akan membawa cabaran negara ke tiga kejohanan besar yang akan diadakan tahun ini.

"Jumlah pemain boling paralimpik yang ada sekarang adalah terhad dan melalui kejohanan seperti ini diharap lebih ramai bakat baru yang boleh kita gilap," kata Teng yang juga jurulatih skuad boling paralimpik negara.

Beliau berkata pemilihan pemain adalah untuk menghadapi Kejohanan Boling Dunia Persekutuan Sukan Cacat Penglibatan Antarabangsa (IBSA) ke-4 yang akan berlangsung di Sunway Mega Lanes pada 7 hingga 16 Oktober depan.

Selain daripada itu, pemilihan juga adalah untuk mendapatkan pemain bagi mewakili negara di temasya Sukan Para Asean di Jakarta pada November dan Kejohanan Tenpin Boling Jawatankuasa Paralimpik Asia Kedua yang dijadual pada Disember tahun ini.

Abu Bakar Nyat, pemenang pingat emas acara bergu lelaki kategori TPB9/10 Sukan Para Asia Guangzhou tahun lepas bersama Wong Kee Soon, berkata acara seperti itu perlu kerap diadakan di negara ini.

"Ia adalah sebagai ruang kepada atlet paralimpik untuk mempertajamkan kemahiran bermain boling. Seperti saya sendiri yang terpaksa berlatih sendirian kerana kekurangan pertandingan untuk atlet seperti kami di Malaysia. Kadang-kadang saya ambil bahagian dalam kejohanan liga di tempat saya," kata pemain berusia 44 tahun dari Klebang Besar, Melaka.

Menyentuh mengenai Sukan Para Asean akan datang, Abu Bakar berkata beliau mahu dipilih sekali lagi untuk mewakili negara.

"Saya mahu buat yang terbaik di sini (Pesta Boling Hari Wilayah Persekutuan) untuk dipilih sekali lagi mewakili negara. Saya mahu mempertahankan pingat emas (dalam acara yang sama) yang saya menangi di Kuala Lumpur, dua tahun lepas," katanya.

Artikel Sebelum

West Ham, Spurs Seri 0-0

Artikel Berikut

Artikel Lain