suria

Jualan Tiket F1 Tunjuk Peningkatan

KUALA LUMPUR: Meskipun kejuaraan Grand Prix Formula Satu (F1) akan membuka tirainya pada 8 hingga 10 April ini, jualan tiket menunjukkan peningkatan kepada 45 peratus berbanding 35 peratus dua minggu lalu.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ketika ditemui pemberita selepas majlis memperkenalkan trofi kejuaraan itu tajaan syarikat pengeluar barang kemas mewah, Tiffany & Co di ibu negara, Jumaat.

"Sambutan terhadap penjualan tiket kini amat menggalakkan selepas kami mengumumkan kehadiran artis dari Korea, Rain. Setakat ini, sebanyak 45,000 hingga 46,000 tiket telah dijual. Namun, saya berharap pembelian tiket akan melonjak naik bermula minggu depan sehingga pada hari perlumbaan," katanya.

Selepas jumlah kehadiran penonton pada tahun lalu gagal menepati sasaran, Razlan berkata, pihaknya masih menaruh harapan agar 100,000 penonton akan membanjiri Litar Sepang sepanjang tiga hari perlumbaan itu.

"Untuk perlumbaan kali ini, kami ada menerima tempahan tiket daripada rombongan pelancong Taiwan. Mungkin, pelancong yang merancang untuk ke Jepun mengubah haluan untuk ke Malaysia selepas bencana tsunami melanda negara Matahari terbit itu antara faktor yang menarik mereka ke sini," jelasnya.

Selain kehadiran penyanyi kacak dari Korea itu, kemunculan tiga pasukan yang membawa cabaran negara iaitu, Mercedes Petronas GP Team, Lotus Racing Team dan Lotus Renault GP Team turut menarik pelancong mahupun peminat tempatan untuk menyaksikan perlumbaan berprestij itu.

Sementara itu, mengulas mengenai penajaan trofi oleh Tiffany & Co sempena F1 di Malaysia, Razlan amat berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama buat julung kalinya dengan syarikat itu selama tiga tahun. "Saya berbangga dengan kerjasama ini. Selain F1, mereka akan menaja trofi Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) dan Malaysia Merdeka Endurance Race (MMER) bermula tahun ini," katanya.

Trofi yang direka khas untuk juara, naib juara dan tempat ketiga mengambil masa sehingga 20 jam untuk dihasilkan di New York, Amerika Syarikat manakala reka bentuknya mengekalkan ciri-ciri tradisi Tiffany & Co.

SIC akan menjadi hos pusingan kedua perlumbaan 19 pusingan musim ini, yang membuka tirai pertamanya di Melbourne, Australia pada 25-27 Mac ini.

Artikel Sebelum

West Ham, Spurs Seri 0-0

Artikel Berikut

Artikel Lain