suria

Pasukan Sarawak Ungguli Kategori Beregu Wanita

PETALING JAYA: Pasangan boling dari Sarawak, Dayang Khairuniza Dhiyana dan Jacqueline Jenelee Sijore, menjuarai kategori beregu wanita Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-24 yang berlangsung di Sunway Megalanes, Bandar Sunway di sini, Khamis.

Hanya dua hari lagi bakal menyambut harijadinya yang ke-20, kemenangan itu umpama hadiah harijadi bagi Dayang Khairuniza yang bermain cemerlang bersama pasangan beregunya Jacqueline mengumpulkan 2,591 jatuhan pin untuk mengungguli kategori tersebut.

Pasangan itu mengatasi beregu dari Perak, Syaidatul Afyna Badrul Hamidi/Sin Li Jane (2,542 jatuhan pin) di tempat kedua bagi pingat perak dan pasangan Zatil Iman/Zandra Aziela dari Selangor dengan 2,331 jatuhan pin pula memperoleh pingat gangsa.

Dayang Khairuniza yang baru diserap ke dalam skuad kebangsaan pada awal tahun ini berkata beliau tidak menyangka dapat meraih kemenangan pada Khamis.

"Saya rasa gembira dan bertuah kerana dapat meraih kemenangan hari ini sempena hari jadi saya ke-20 Sabtu ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kejayaan itu juga membakar semangatnya untuk menghadapi sukan SEA di Indonesia pada November nanti.

Pingat emas bagi kategori beregu lelaki pula dimenangi oleh pasangan Aaron Kong dan Adrian Ang dari Pulau Pinang dengan 2,587 jatuhan pin.

Pasangan Kang Bo Long/Muhd Nur Aiman dari Johor pula meraih pingat perak dengan 2,565 jatuhan pin dan pingat gangsa pula milik Alex Liew/ Daniel Lim dari Selangor yang melakukan 2,543 jatuhan pin.

Sementara itu, Selangor menyapu bersih dua pingat emas bagi kategori remaja beregu lelaki dan beregu wanita.

Pingat emas kategori beregu remaja lelaki dimenangi oleh pasangan Muhammad Hafiz Fikri/Muhammad Aizudden Mustaqim dengan 2,430 jatuhan pin.

Pasangan dari Sarawak, Christopher Tiong Lee Siong/Muhd Syafiq Sajeli pula memenangi pingat perak dengan 2,382 jatuhan pin dan pingat gangsa pula milik Muhammad Fazrin Khairul Faiz/Muhd Izzul Fahmi Ibrahim dari Perak dengan 2,343 jatuhan pin.

Satu lagi pingat emas bagi pasukan Selangor disumbangkan oleh pasangan Natasya Roslan dan Dina Nur Nadia menerusi kategori beregu remaja wanita dengan 2,462 jatuhan pin.

Pingat Perak pula milik pasangan dari Perak Nursyamimi Supardi/Syaidatul Afyna (2,348 jatuhan pin) dan pingat gangsa pula milik pasangan dari Pulau Pinang, Nur Amira Auni/Fatin Hazwan (2,300 jatuhan pin).- BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham, Spurs Seri 0-0

Artikel Berikut

Artikel Lain