suria

Nicol Tepati Ramalan, Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Sarah Kippax dari England 11-8, 11-8, 11-8 pada pusingan pertama undian utama Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2011, di sini, Khamis.

Meskipun strateginya tidak begitu menjadi, Nicol berkata dia cuba melakukan yang terbaik dan tetap meneruskan permainannya.

"Permainan perlu diteruskan dan saya sudah melakukan yang terbaik walaupun prestasi pada saingan itu tidak menentu. Sarah bermain dengan baik dan kelihatan mahu memenangi pertemuan itu," kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Pada pertemuan suku akhir, Jumaat, Nicol akan menentang pemain Australia, Kasey Brown yang berjaya menundukkan Laura Massaro dari England. Brown mencatat kemenangan 11-8, 7-11, 11-9, 15-13.

Bagaimanapun, nasib tidak mengiringi seorang lagi pemain negara, Low Wee Wern yang terpaksa pulang lebih awal selepas tewas kepada Rachael Grinham dari Australia 11-5, 11-4, 6-11, 9-11, 11-6.

Kekejang otot di kakinya menjejaskan rentak pemain dari Pulau Pinang itu untuk mengikut jejak rakan senegara ke suku akhir pada Jumaat.

Wee Wern yang tewas pada dua set pertama cuba bangkit di set ketiga dan keempat untuk menyalakan peluang ke suku akhir tetapi otot kakinya mengalami kekejangan sekaligus mengganggu fokusnya di set kelima.

Bagi kategori lelaki, pemain ranking ke-55 dunia, Mohd Nafiizwan Adnan berjaya mematikan langkah lawan dari Mesir, Ali Farag 11-8, 9-11, 11-8, 11-5 selama 62 minit.

Kemenangan itu membolehkan Nafiizwan bertemu pemain Mesir, Mohamed El Shorbagy di suku akhir pada Jumaat. Sementara itu, jaguh skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar tidak perlu bermandi peluh apabila mara mudah selepas lawannya dari Pakistan, Farhan Mehboob menarik diri.

Pemain kelahiran Sarawak itu akan menentang Aamir Atlas Khan dari Pakistan yang mencatatkan kemenangan 13-11, 11-2, 11-5 ke atas pemain Perancis, Mathieu Castagnet.

Seorang lelaki pemain negara, Ong Beng Hee terpaksa berputih mata selepas kecundang di tangan pemain India, Saurav Ghosal 11-8, 4-11, 11-6, 11-6. Beng Heng ternyata memberi peluang mudah kepada Ghosal untuk mara apabila hanya bangkit di set kedua.

Ghosal akan bertemu pemain pilihan utama kejohanan, Karim Darwish dari Mesir yang mengetepikan cabaran pemain Jerman, Simon Rosner 12-14, 11-5, 11-8, 11-5.

Artikel Sebelum

West Ham, Spurs Seri 0-0

Artikel Berikut

Artikel Lain